Berita Utama

Kerajaan rangka Dasar Anti Ali Baba

Negara aggar kerugian cecah sekitar satu peratus daripada KDNK

KUALA LUMPUR, 22 Zulhijjah 1444H, Selasa – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan sedang dalam tindakan merangka Dasar Anti Ali Baba (rent-seeking) dan mempercepat Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR).

Perdana Menteri berkata, perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang diadakan semalam.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, budaya Ali Baba memberi dampak negatif kepada ekonomi dan kerajaan serius untuk menangani dan membasmi aktiviti ini.

“Anggaran kerugian mencecah sekitar satu peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan melibatkan aspek perolehan, perlesenan, pemberian permit dan kuota serta pemberian subsidi dan geran.

“Kementerian Ekonomi dan Jabatan Peguam Negara, dengan penglibatan kementerian dan agensi kerajaan akan mengkaji dan merangka dasar dan strategi perundangan yang bersesuaian untuk membanteras aktiviti rent-seeking dan membentangkan cadangan kepada Jemaah Menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Anwar berkata, mesyuarat MTEN turut bersetuju untuk mempercepat inisiatif NETR sebagai pemangkin kepada strategi mengangkat negara sebagai peneraju serantau dalam tenaga boleh baharu.

Beliau berkata, Projek Flagship Rintis dan inisiatif NETR bagi meningkatkan penyertaan industri mengenai hala tuju baharu kerajaan dalam meneroka sumber tenaga baharu dan membentuk permintaan pasaran serta mengenal pasti sumber kewangan untuk menangani jurang pembiayaan bagi projek tersebut.

Anwar berkata, Fasa Pertama NETR akan mengetengahkan 10 projek rintis perdana yang strategik dan bernilai tinggi sebagai langkah pelaksanaan Dasar Tenaga Negara 2022-2040 dengan jangkaan pelaburan bernilai RM25 bilion.

Selain itu, menurutnya fasa berkenaan turut merangkumi mewujudkan 23,000 pekerjaan berkualiti tinggi dan mengurangkan pelepasan karbon dioksida setara melebihi 10,000 gigagram secara bertimbunan.

“Peluncuran NETR Fasa Pertama akan diadakan pada 27 Julai 2023 dan disusuli dengan peluncuran NETR Fasa Kedua pada Ogos 2023,” kata perdana menteri.

Melangkah ke hadapan, Anwar berkata MTEN akan terus merumuskan langkah dan inisiatif baharu untuk menangani pelbagai isu melibatkan perekonomian negara bagi memastikan penambahbaikan tata kelola serta perubahan struktur secara teratur demi meningkatkan potensi ekonomi negara.

“Kerajaan sentiasa berusaha memastikan negara mencapai Aspirasi Negara Rendah Karbon 2040 dan sentiasa bergerak maju ke hadapan seiring dengan kemajuan teknologi semasa dan memenuhi keperluan sosioekonomi rakyat bagi menjamin kesejahteraan Malaysia dan rakyatnya,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button