Berita UtamaUtama

Polis Perak kenal pasti beberapa individu terlibat Daesh

IPOH, 24 Rabiulakhir 1439H, Jumaat – Polis Perak telah mengenal pasti beberapa individu di negeri ini dipercayai terlibat dengan militan Daesh.

Ketua Polis negeri, Datuk Hasnan Hassan ketika mendedahkan perkara itu berkata, tangkapan akan dilakukan dalam waktu terdekat.

“Pihak polis telah mengesan mereka. Bilangan tidak dapat diberitahu, tapi ada di antaranya kakitangan kerajaan serta isteri yang menyokong suami menganggotai Daesh,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak; Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) IPK dan Ketua Polis Daerah Taiping.

Pada majlis itu, Ketua JSJ IPK Perak Datuk Gan Tian Kee menyerahkan tugas kepada SAC Yahya Abd Rahman, Ketua JIPS Supt Mohd Radzuan Bachik menyerahkan tugas kepada Supt Mohd Azlan Sanusi manakala ACP Mohammad Taib menerima tugas sebagai Ketua Polis Daerah Taiping daripada Supt Razlam Abd Hamid.

Mengulas lanjut, Hasnan berkata, polis Perak sentiasa menjadikan usaha memerangi militan Daesh sebagai fokus utama kontinjen selain menghapuskan kegiatan judi dan gangsterism.

Beliau juga mahu setiap pegawai dan anggota polis di Perak meneruskan kecemerlangan tahun lalu yang berjaya menurunkan kadar indeks jenayah daripada 5,846 kes kepada 5,362 atau 13.2 peratus.

Berhubung penyalahgunaan dadah, Hasnan berkata, walaupun terkawal ia masih pada tahap membimbangkan kerana tahun lalu nilai keseluruhan rampasan dadah meningkat kepada RM12.4 juta berbanding RM7.5 juta pada 2016, manakala nilai sitaan harta daripada kegiatan haram itu pada tahun lepas RM5.6 juta. – Bernama

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close