a
Terkini
20/01/2018, 3:19 pm

Pemilik dan pengurus kedai haiwan ditahan, kes penipuan skim pelaburan kucing


SHAH ALAM, 24 Rabiulakhir 1439H, Jumaat – Polis menahan pemilik dan pengurus sebuah kedai haiwan berhubung kes penipuan skim pelaburan kucing di tiga buah negeri melibatkan kerugian sebanyak RM1.56 juta sejurus selepas serbuan ke atas premis itu di sini, hari ini.

Ketua Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Korporat/Kewangan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman SAC S. Sasikala Devi berkata kedua-dua lelaki berumur 55 dan 34 tahun itu berada di premis terbabit semasa serbuan dijalankan dan mereka ditahan ekoran laporan polis oleh 35 mangsa terlibat.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki tersebut juga dipercayai individu yang bertanggungjawab menyebarkan maklumat mengenai skim pelaburan kucing berkenaan sejak syarikat itu beroperasi tahun lepas.

Menurut Sasikala Devi, modus operandi skim pelaburan berkenaan adalah dengan memperdaya mangsa supaya ‘membeli’ kucing baka import di kedai terbabit untuk dibiakkan dan mereka akan menerima ganjaran lumayan sebanyak 70 peratus daripada hasil jualan anak-anak kucing tersebut.

“Mangsa diperdaya untuk ‘membeli’ kucing baka import antaranya ‘Mainecoon’, ‘British Short Hair’ atau ‘Pedigree’ pada harga RM7,000 hingga RM30,000 mengikut jenis bagi dibiakkan dengan kucing jenis baka lain di premis itu.
​​​​​​​
​​​​​​​“Namun selepas setahun, hasil jualan anak-anak kucing baka import yang dijanjikan lumayan itu tidak diterima mangsa menyebabkan mereka tampil membuat laporan polis,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata, dua lagi cawangan premis tersebut iaitu di Johor Bahru dan Setapak, Kuala Lumpur turut diserbu serentak hari ini namun premis di ibu negara itu didapati telah ditutup sejak dua bulan lepas.

“Hasil serbuan di dua premis itu, polis merampas pelbagai dokumen berkaitan termasuk sijil-sijil baka kucing sebagai rujukan kerana setiap kucing yang terlibat dalam skim itu dipakaikan mikrocip yang mengandungi maklumat haiwan tersebut.

“Polis percaya masih ramai lagi pemilik kucing diperdaya menerusi skim ini dan mangsa disaran supaya tampil membantu siasatan kes penipuan berkenaan kerana kedai haiwan ini difahamkan ada beberapa lagi cawangan namun hanya mangsa dari tiga premis saja yang buat laporan,” katanya.

Beliau berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
– Bernama

Share With:
Rate This Article
Author

admin@ismaweb.net

No Comments

Leave A Comment