a
Terkini
20/01/2018, 3:19 pm

Kelemahan nilai integriti penyumbang peningkatan jenayah

BANGI, 24 Rabiulakhir 1439H, Jumaat – Kelemahan nilai integriti dalam kalangan rakyat di negara ini bakal menyumbang kepada peningkatan jenayah salah laku khususnya rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Justeru, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyeru umat Islam di Malaysia supaya terus menjadikan integriti dan amalan urus tadbir yang baik sebagai nilai utama dalam pekerjaan serta pengurusan organisasi.

Jakim menerusi teks khutbah Jumaat berkata, pengurusan integriti sememangnya penting kerana ia menentukan jatuh bangun serta maju mundur sesebuah negara.

Malah katanya, kelemahan integriti yang berpunca daripada sikap mudah lupa diri juga menyumbang kepada keruntuhan nilai moral dan kecemerlangan yang dicapai.

“Sedarlah, suatu ketika dahulu kita pernah menjadi satu bangsa yang kuat, berkuasa dan terkenal.

“Namun, selagi masalah integriti tidak ditangani, selagi itu kita tidak akan maju dan cukup berpuashati dengan kejayaan kecil,” kata khutbah.

Jelas khutbah, banyak kes-kes berkaitan pengabaian nilai integriti dilaporkan sejak kebelakangan ini, dan budaya pemupukan nilai tersebut perlu diperhebatkan lagi untuk melahirkan sebuah warga kerja yang amanah.

Menurut Jakim, individu yang berintegriti akan memikul tanggungjawab dengan penuh amanah dalam menentukan survival ummah, organisasi dan negara terpelihara.

“Ia sebagaimana Firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 21:“Sesungguhnya Kami telah kemukakan amanah kepada langit dan bumi serta gunung-ganang, maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya; dan manusia sanggup memikulya. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan jahil.”

“Oleh demikian, iman yang mantap sangat penting bagi memastikan nilai integriti terus membugar.

“Malah menghayati dan mengamalkan kehidupan berintegriti memberi impak yang mendalam terhadap keseluruhan objektif yang ditetapkan sama ada untuk organisasi, negara malah untuk individu juga,” katanya.

Share With:
Rate This Article
Author

admin@ismaweb.net

No Comments

Leave A Comment