DuniaTimur TengahUtama

Syor Arab Saudi jadi penjaga Masjid Al-Aqsa penghinaan kepada Jordan

AMMAN, 23 Rabiulakhir 1439H, Khamis – Cadangan seorang ahli Parlimen rejim pengganas Israel supaya Arab Saudi menjadi penjaga Tanah Suci Baitulmaqdis dan Masjid Al-Aqsa mencabar dan dianggap satu serangan serta penghinaan ke atas Raja Jordan dan rakyat negara itu.

Ini kerana, sejak berdekad lalu, Jordan adalah penjaga sah Baitulmaqdis, terutama masjid suci ketiga Islam, Masjid Al-Aqsa, kata jurucakap kerajaan Jordan.

“Jordan adalah penjaga Al-Aqsa. Peranan yang diiktiraf menerusi dua perjanjian damai, terutama perjanjian Wadi Araba yang ditandatangani antara Raja Jordan ketika itu, Raja Hussein dan Perdana Menteri Israel, Yitzhak Rabin pada 1994.

“Oleh itu, Raja Abdullah sekarang adalah penjaga Masjidil Aqsa dan Tanah Suci Baitulmaqdis bagi pihak umat Islam dan penganut Kristian,” katanya.

Apabila Raja Hussein mengumumkan Jordan melepaskan Tebing Barat pada 1988, beliau mengiktiraf Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) sebagai wakil tunggal rakyat Palestin, tetapi menegaskan bahawa Jordan akan menjadi penjaga kepada Masjid Al-Aqsa.

Bahkan, lebih separuh rakyat Jordan adalah pelarian Palestin, dan majoriti penduduk Amman sama ada pelarian Palestin atau warga Palestin yang memiliki kerakyatan Jordan.

Oleh kerana itu, Jordan menjadi antara 128 negara yang mengundi menolak keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara rejim pengganas Israel, pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, bulan lalu.

Dalam usaha mengekalkan kedudukan Raja Abdullah sebagai penjaga Tanah Suci Bautulmaqdis dan Masjid Al-Aqsa dan menentang tindakan Trump, Perdana Menteri Jordan, Hani Al-Mulki serta Ahli Parlimen negara itu memakai lencana gambar Raja Abdullah dan tertulis ‘Penjaga kiblat pertama dan masjid suci ketiga’.

Semalam, Ahli Parlimen rejim pengganas Israel, Isaac Herzog mencadangkan Arab Saudi memainkan peranan lebih besar berhubung isu Baitulmaqdis dan menjadi penjaga Tanah Suci itu. – Agensi

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close