Berita UtamaIstimewa

UMNO ‘parti diktator’ jika dua jawatan utama tak dipertandingkan

Jawatan Presiden, Timbalan Presiden terjemahkan suara akar umbi dalam undi

BANGI, 2 Jamadilakhir 1444H, Isnin – Gesaan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang semakin lantang disuarakan akar umbi.

Terbaharu, Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Perlis, Noor Hairi Noor Mohammed menegaskan, UMNO akan menjadi seperti ‘parti diktator’ sekiranya meluluskan usul supaya dua jawatan tertinggi itu tidak dipertandingkan.

Beliau berkata, UMNO sejak dari dulu adalah parti berteraskan demokrasi dan jika usul itu diluluskan, maka parti Melayu tertua berkenaan bukan lagi sebuah parti demokrasi.

“Jika usul jawatan Presiden ini tidak dipertandingkan, ia pasti akan mengakibatkan kesan yang amat buruk kepada UMNO.

“Pertandingan untuk jawatan Presiden ini perlu supaya suara akar umbi dapat diterjemahkan dalam bentuk undi.

“Selain itu, ia dapat membuktikan keabsahan jawatan Presiden itu sendiri,” katanya seperti dipetik media tempatan.

Sebelum ini, Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin menggesa untuk membuka semua jawatan dalam pemilihan UMNO tahun depan.

Ini termasuk jawatan Presiden dan juga Timbalan Presiden – yang didakwa mungkin tidak akan dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.

Nada sama turut disuarakan Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Menurut beliau, mana-mana pihak mahupun individu tidak seharusnya menyekat amalan demokrasi yang telah lama subur dalam UMNO.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button