Berita Utama

20 hingga 35 peratus penerima vaksin tak hadir janji temu PPV UMS

Sulitkan PPV capai sasaran kapasiti 3,000 dos vaksin sehari

KOTA KINABALU, 20 Zulhijjah 1442H, Jumaat – Sudah dapat janji temu tetapi tidak hadir, begitulah dilema dialami pusat pemberian vaksin (PPV) Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini apabila 20 hingga 35 peratus penerima vaksin COVID-19 tidak hadir janji temu seperti ditetapkan dalam aplikasi Mysejahtera setiap hari.

Pengarah Hospital UMS Prof Dr Helen Benedict Lasimbang berkata situasi itu mendatangkan kesukaran kepada PPV UMS untuk memberikan vaksin secara optimum, selain menyulitkan usaha PPV itu mencapai sasaran kapasiti 3,000 dos vaksin sehari.

“Kami sangat susah cari pengganti, sasaran kami 3,000 dos dan meskipun janji temu dah sampai 4,000 dos pun masih lagi tidak dapat capai sasaran disebabkan situasi begini (tidak hadir janji temu).

“Saya harap penduduk Sabah hari-hari tengok MySejahtera kamu (semak MySejahtera anda setiap hari), semua kena datang ikut janji temu diberikan MySejahtera selain sentiasa kemas kini MySejahtera kamu…ini adalah perkara serius bagi memberikan perlindungan terhadap COVID-19,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dr Helen berkata PPV UMS yang dibuka pada 14 Jun lepas pada mulanya hanya mampu memberikan 1,000 dos vaksin COVID-19 dalam sehari sebelum ditingkatkan kepada 1,500 dos sehari pada minggu lepas, dan terbaharu ditingkatkan lagi kepada 3,000 dos sehari, minggu ini.

Terdahulu beliau bersama petugas media meninjau pergerakan aliran trafik UMS yang kini tidak lagi sesak setelah beberapa penambahbaikkan dilakukan, antaranya mengubah lokasi pengimbas aplikasi MySejahtera dari pintu pagar utama ke dalam kawasan PPV. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button