Tawaran saman trafik PDRM, JPJ palsu
Orang ramai terima iklan promosi diminta tidak terpengaruh
BANGI, 17 Zulhijjah 1443H, Ahad – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan iklan promosi tawaran pengurangan saman trafik hingga 20 Julai yang tersebar melalui aplikasi WhatsApp adalah palsu.
Setiausaha Polis Malaysia (SUPM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) telah mengesan satu iklan mempromosikan tawaran 50 peratus diskaun saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan PDRM melalui aplikasi itu.
“Iklan tersebut memaparkan nilai kadar saman dan jumlah bayaran diskaun serta tawaran sehingga 20 Julai.
“PDRM mengesahkan iklan promosi tawaran saman tersebut adalah palsu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Noorsiah berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan ke atas individu yang bertanggungjawab dalam menyebarkan berita dan iklan palsu itu.
“Orang ramai yang menerima iklan promosi tersebut, diminta untuk tidak terpengaruh atau berhubung dengan penama yang dinyatakan.
“Masyarakat juga dinasihatkan agar menyemak terlebih dahulu kesahihan sebarang berita terutamanya mengenai tawaran pengurangan saman melalui saluran media rasmi PDRM bagi mengelak menjadi mangsa penipuan,” katanya.