Pendapat

Muharam dan amalan yang dipermudahkan

Sedekah bersihkan harta dan jiwa si pemberi

KITA umat Nabi Muhammad SAW yang sangat istimewa. Bermula Muharam sehingga berakhir dengan Zulhijjah, ada sahaja waktu-waktu istimewa yang Allah SWT peruntukkan untuk kita.  Saya mulakan dengan kata-kata Imam Ibnu Hajar al-Asqalani ketika membahaskan tentang kelebihan bulan Haram:

الحكمة في جعل المحرم أول السنة أن يحصل الابتداء بشهر حرام ويختم بشهر حرام وتتوسط السنة بشهر حرام وهو رجب وإنما توالى شهران في الآخر لإرادة تفضيل الختام والأعمال بالخواتيم

Hikmah dijadikan Muharam itu pada awal tahun supaya permulaan kita adalah dengan bulan yang agung, penutup kita dengan bulan yang agung, pertengahan kita juga dengan bulan yang agung iaitu Rejab, sesungguhnya berentetan dua bulan agung pada penghujung (Zulkaedah dan Zulhijjah) adalah untuk melebihkan penutup dan amalan itu dikira pada penutupnya.

Amalan yang Dimudahkan

Bila dilihat gaya orang kita berinteraksi dengan bulan haram, kita sebenarnya seperti orang yang tak sedar dek untung. Langsung tak terkesan dengan tawaran Tuhan yang permana. Bak kata bijak pandai, orang kita zuhud tak bertempat. Memang kita disuruh zuhud tapi zuhud itu dengan manusia bukan zuhud dengan Allah. Dengan Allah, kita disuruh untuk haloba dengan mengejar pahala sehabis daya.

Ada orang yang mudah baginya nak buat baik. Kebaikan mendatanginya seperti bayang-bayang. Tak perlu usaha kuat, pantang terlintas terus terbuat. Ada orang yang mudah pula baginya berbuat jahat. Kejahatan bukan sekadar teman bahkan mesra. Sehingga dia dengan syaitan sejiwa, hanya rupa yang membezakan. Sebenarnya, mudahnya kita untuk beramal, menjadi dalil kedudukan kita di akhirat kelak. Sama ada menjadi penghuni syurga mahupun neraka.

Pernah suatu Ketika, baginda Nabi SAW menguruskan jenazah bersama para sahabat di perkuburan Baqi. Ada sahabat yang berkata, “Wahai Rasulullah, berikan nasihat buat kami!” Nabi SAW pun bersabda:

ما مِنكُم مِن أحَدٍ إلَّا وقدْ كُتِبَ مَقْعَدُهُ مِنَ النَّارِ، ومَقْعَدُهُ مِنَ الجَنَّةِ

Tiada seorang pun dalam kalangan kamu melainkan Allah telah tetapkan sama ada dia berada di neraka atau di syurga.

Tiba-tiba salah seorang daripada sahabat bertanya, “Adakah kami perlu bertawakal sahaja dengan takdir yang telah ditetapkan dan kami tinggalkan beramal?” Jawab Nabi SAW:

اعملوا فكلٌّ ميسر لما خلق له

Beramallah, kerana setiap daripada kamu akan dipermudahkan kepada apa, dia diciptakan

Maksudnya, kita disuruh beramal dan antara petanda kita ahli syurga ialah Allah SWT akan permudahkan kita untuk berbuat baik dan susahkan kita untuk berbuat jahat. Hadis ni boleh jadi khabar gembira buat kita dan boleh jadi khabar yang menakutkan. Tepuk dada tanya hati, agak-agaknya aku lebih mudah yang mana satu?

Beramal Sekalipun Sudah Ditentukan Kedudukan

Pasti kita akan tertanya-tanya sebagaimana para sahabat Nabi tadi. Untuk apa lagi bersusah untuk beramal kalau semuanya telah ditetapkan. Bukankah ia seperti mencurah ke daun keladi atau seperti melukut di tepi gantang?

Jika kita perhatikan kepada hadis tadi, ia diletakkan oleh Imam Bukhari dalam bab al-Qadr. Perkara ini dibahaskan panjang lebar sama ada ia qada’ mubram (tak boleh berubah) atau qada’ muallaq (yang boleh berubah). Ringkasnya, soal  ketentuan Allah SWT sama ada neraka atau syurga adalah sebahagian daripada qada’ muallaq yang boleh berubah bergantung kepada amalan manusia. Jadi, hadis ini menghimpunkan antara keimanan kepada qada’ dan qadar Allah serta keperluan untuk berpegang dengan ‘asbab’ atau usaha dalam beramal.

Sebenarnya jawapan Nabi SAW tadi tidak terhenti di situ sahaja. Baginda telah menyambung dengan membacakan ayat al-Quran dari surah al-Lail yang berbunyi:

فَأَمَّا مَنْ أَعْطَى وَاتَّقَى  وَصَدَّقَ بِالْحُسْنَى  فَسَنُيَسِّرُهُ لِلْيُسْرَى

Adapun orang yang memberikan apa yang ada padanya ke jalan kebaikan dan, serta ia mengakui dengan yakin akan perkara yang baik, aka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesenangan (syurga).

وَأَمَّا مَنْ بَخِلَ وَاسْتَغْنَى  وَكَذَّبَ بِالْحُسْنَى  فَسَنُيَسِّرُهُ لِلْعُسْرَى

Sebaliknya: orang yang bakhil dan merasa cukup dengan kekayaan dan kemewahannya, serta ia mendustakan perkara yang baik, maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesusahan dan kesengsaraan.

Amalan Pengubah Kedudukan

Ayat di atas tadi menceritakan bahawa Allah SWT akan mudahkan seseorang untuk buat kebaikan dan mudahkan juga untuk jalan kejahatan. Secara lebih terperinci, ayat ini menyatakan bahawa ada amalan tertentu yang akan memudahkan seseorang untuk berbuat baik. Itulah dia sedekah.

Sedekah bukan sahaja membersihkan harta seseorang, ia juga berperanan untuk membersihkan jiwa si pemberinya. Orang yang banyak bersedekah akan mudah dilembutkan hati lalu memandunya untuk beramal dengan lebih banyak. Jadi, sesiapa yang rasa hatinya berpenyakit, rasa susah untuk buat baik, malas ibadat, berat mulut membaca al-Quran, maka eloklah dia bersedekah.

Semakin banyak ujian dan masalah, semakin banyak kita perlu bersedekah.  Ini amalan para sahabat dan salafussoleh yang diwarisi daripada Rasulullah SAW. Bukan sekadar penyakit hati, penyakit zahir pun boleh diubati dengan sedekah. Sabda Nabi SAW:

“Bentengi hartamu dengan zakat, ubati penyakitmu dengan sedekah, dan hadapi ujianmu dengan doa.” (Riwayat al-Thabrani)

Akhir kata, tuan-tuan yang mulia, anjuran beramal sudah ada. Ganjaran juga telah tersedia. Cuma menunggu hati mengarahkan anggota. Untuk beramal mengejar pahala. Semoga Allah SWT mudahkan urusan kita untuk merentas jalan ke syurga. Insya-Allah!

Dr Abdul Wahab Md. Ali
Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), UiTM Cawangan Dungun, Terengganu

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button