Berita UtamaDunia

102 terkorban termasuk 7 kanak-kanak pada hari ke-5 serangan Russia

Ukraine tuntut gencatan senjata dan pengunduran tentera Russia

KYIV, 26 Rejab 1443H, Isnin – Ketua Hak Asasi Manusia Pertubuhan bangsa-Bangsa bersatu (PBB), Michelle Bachelet berkata, sekurang-kurangnya 102 orang awam termasuk tujuh kanak-kanak terkorban pada hari ke lima Russia melancarkan perang.

Bagaimanapun, jumlah sebenar kemungkinan lebih ramai.

Bachelot berkata, pejabatnya merekodkan 406 kematian orang awam secara keseluruhan, termasuk 102 kematian pada hari ini.

“Kebanyakan orang awam terkorban disebabkan letupan senjata di kawasan terbuka termasuk tembakan daripada artileri berat, sistem roket dan serangan udara,” katanya.

Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia itu berkata, penderitaan yang dialami penduduk Ukraine semakin kritikal.

“Ribuan orang awam termasuk warga emas berhimpun di pelbagai lokasi bagi mengelak serangan termasuk di stesen bawah tanah, bagi mengelak letupan,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini agensi pelarian menganggarkan kira-kira 368,000 penduduk menjadi pelarian kerana meninggalkan tanah air mereka.

Terdahulu, Ukraine menuntut Russia melakukan gencatan senjata serta-merta dan mengundurkan pasukan tenteranya dari negara ini.

Perkara itu disuarakan ketika delegasi Ukraine dan Russia mengadakan rundingan buat pertama kali sejak Moscow menyerang Kyiv, Khamis lalu.

“Kami menuntut supaya Russia melaksanakan gencatan senjata serta keluar dari Ukraine serta-merta,” menurut kenyataan yang dikeluarkan pejabat Presiden Ukraine.

Volodymyr Zelensky dalam satu kenyataan berasingan mendesak tentera Russia meletakkan senjata dan meninggalkan medan perang. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button