Berita Utama

Hanya Agong ada kuasa mutlak tentukan pengampunan diraja

7,000 banduan mungkin mohon namun bergantung budi bicara YDPA

BANGI, 6 Syawal 1444H, Khamis – Hanya Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan pengampunan diraja, meskipun wujud Lembaga Pengampunan di dalam Perlembagaan.

Peguam, Haniff Khatri Abdullah berkata, dalam isu berkaitan pengampunan diraja adalah peruntukan yang dikhususkan sebagai kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong, di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

“Hanya satu pihak yang akan menentukan sama ada perlu bagi pengampunan, bila masa yang sesuai untuk diberikan pengampunan.

“Sama ada pengampunan penuh, pengampunan bersyarat semuanya adalah milik Yang di-Pertuan Agong, tiada pihak lain lagi walaupun dalam Perlembagaan wujud Lembaga Pengampunan.

“Dan Lembaga Pengampunan menyatakan bahawa lembaga ini harus menerima jika ada laporan Peguam Negara sebelum Lembaga Pengampunan memberikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam program ‘Dimensi: Adakah Anwar Sokong Pengampunan Najib’ yang disiarkan di TV Pertiwi, hari ini.

Mengulas lanjut, Haniff berkata, walaupun terdapat peruntukan Perkara 40 A(1) yang dimasukkan pada 1960, menyatakan apabila mana-mana bahagian Perlembagaan dikatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong perlu mengambil nasihat dan mengikut nasihat, maka keputusan Baginda Tuanku hendaklah mengikut keputusan tersebut.

“Tetapi, terdapat pelbagai keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum itu dan selepas kemasukan perkara itu yang menyatakan bahawa walaupun ada peruntukan berkenaan, namun Yang di-Pertuan Agong tidak semestinya mengikut nasihat lembaga.

“Proses pengampunan pula boleh dimohon sesiapa sahaja untuk ihsan Yang di-Pertuan Agong sebelum dimajukan kepada Lembaga Pengampunan,” katanya.

Beliau menjelaskan, Lembaga Pengampunan juga akan bersidang secara berkala dan biasanya tiga atau empat kali setahun.

“Tetapi siapa yang yang susun senarai untuk dibincangkan semuanya ditentukan oleh lembaga itu sendiri.

“Kita jangan lupa di negara ini ada 70,000 banduan di penjara dan sekiranya 10 peratus yang memohon iaitu 7,000 jadi berapa ramai perlu dimasukkan dalam senarai mesyuarat Lembaga Pengampunan.

“Tetapi, ini tidak bermakna Yang di-Pertuan Agong berhak untuk memilih mana-mana fail supaya Lembaga Pengampunan bersidang itu pun budi bicara Tuanku,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memohon ihsan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mempertimbangkan pengampunan penuh kepada bekas Presiden parti itu sebagaimana kuasa yang diperuntukkan mengikut Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, MKT sebulat suara bersetuju untuk memohon menghadap bagi mempersembahkan warkah rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong berserta memorandum yang ditandatangani seluruh kepimpinan UMNO daripada 191 bahagian termasuk Wanita dan sayap Pemuda dan Puteri.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button