Berita Utama

PAS cabar kerajaan pimpinan Anwar hapus terus judi, berani?

Kasihan, sudah jadi kerajaan pun masih mentaliti pembangkang

BANGI, 11 Jamadilawal 1444H, Selasa – Tuduhan Datuk Seri Anwar Ibrahim – yang membayangkan kononnya dana pilihan raya Perikatan Nasional (PN) datang dari syarikat perjudian – menunjukkan Perdana Menteri itu masih ada mentaliti pembangkang.

Sebelum ini, Anwar dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet, membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang daripada syarikat perjudian.

“Sama ada anda menggelar parti anda sebagai parti Melayu atau parti Islam, dana itu datangnya daripada syarikat perjudian,” katanya, yang memaklumkan akan menyemak perkara berkenaan.

Mengulas perkara itu, Ketua Penerangan PAS, Ir Khairil Nizam Khirudin menggesa Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mengemukakan bukti berhubung tuduhan berkenaan.

“Sekarang Perdana Menteri tambah pula sentimen minta orang membayangkan PN menggunakan dana judi untuk bantu kempen PRU.

“Buat apa bayang-bayang. Kalau ada bukti, kemukakanlah. Kasihan, sudah jadi kerajaan pun masih ada mentaliti pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Khairil turut mengulas mengenai langkah Perdana Menteri membatalkan keputusan kerajaan sebelum ini yang meningkatkan kekerapan cabutan khas nombor ramalan daripada lapan kepada 22 kali setahun.

Katanya, usaha berkenaan bagus untuk dilaksanakan namun tidak perlu ditambah dengan fitnah.

“Adakah penyokong PH sudah habis modal untuk burukkan PAS sehingga sanggup kitar semula fitnah kata PAS sokong peningkatan cabutan judi?

“Dalam PAS, kami diajar berpolitik secara matang dan sejahtera. Untuk makluman semua, dari dulu PAS membantah langkah kerajaan menambah kekerapan cabutan khas judi.

“Untuk makluman semua juga, cukai judi menunjukkan penurunan mendadak sepanjang PN memerintah kerana banyak pusat judi berjaya ditutup di negeri-negeri PAS memerintah,” katanya.

Serentak itu, beliau mencabar kerajaan menghapuskan terus judi seperti yang dilaksanakan di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

“Ada berani?,” soalnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button