Berita Utama

SUHAKAM cuba longgar undang-undang PATI atas nama hak asasi?

Kerajaan perlu bertegas demi menjaga keselamatan negara

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 11 Zulkaedah 1442H, Selasa – Dalam menjaga keselamatan negara, kerajaan perlu bertindak tegas terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) jika kes yang berlaku melibatkan perlanggaran undang-undang.

PATI perlu diurus dengan baik di negara ini kerana keselamatan rakyat adalah suatu yang tidak boleh dikompromi.

Demikian tegas Presiden gerakan Islam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni mengulas kenyataan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) mengenai persepsi negatif kepada pendatang asing tidak berdokumen atau tanpa izin, pelarian dan pencari suaka.

Terdahulu, SUHAKAM meluahkan rasa bimbang dengan kenyataan yang memberi gambaran bahawa pendatang asing tidak berdokumen atau tanpa izin, pelarian dan pencari suaka memberi ancaman kepada keselamatan negara.

Suruhanjaya itu berkata, penguatkuasaan yang lebih ketat terhadap komuniti itu sekali lagi menyebabkan kekecohan, justeru meminta kerajaan mempertimbangkan semula pendekatan terhadap situasi berkenaan.

Katanya, ini bagi mengelakkan pelanggaran berterusan prinsip hak asasi manusia atau memburukkan lagi krisis kesihatan awam.

Selain itu, SUHAKAM turut meminta kerajaan komited untuk menghormati prinsip ‘non-refoulment’ pelarian dan pencari suaka.

“Sebaliknya berjanji untuk melindungi dan menyediakan bantuan yang diperlukan oleh komuniti pendatang dan pelarian agar mereka dapat menjalani kehidupan dengan bermaruah, mampu mencari kerja, mendapat akses kepada pendidikan, penjagaan kesihatan dan tempat tinggal selagi mereka berada di negara ini,” katanya.

Ustaz Muhammad Fauzi berkata, kenyataan SUHAKAM itu dilihat sebagai usaha untuk melonggarkan undang-undang berkaitan PATI atas nama hak asasi pendatang asing tersebut.

Walhal katanya, undang-undang itu sendiri sebenarnya digubal untuk menjaga keselamatan rakyat yang sepatutnya menjadi keutamaan.

“Walaupun mungkin poster yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigeresen berkenaan pelarian Rohingya sudah ditarik balik, tetapi sebahagian pihak terus memainkan isu hak asasi pendatang asing tanpa izin.

“Ini dilihat sebagai cubaan jauh untuk mengabsahkan kebanjiran pendatang asing tanpa izin China dan India yang kecoh satu ketika dahulu,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas berhubung isu PATI demi menjaga keselamatan negara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button