Berita Utama

Penjawat awam wajib pakai batik setiap Khamis

Peraturan berkuat kuasa 21 Ogos, surat ditandatangani Ketua Pengarah KPPA

PUTRAJAYA, 5 Safar 1445H, Selasa – Semua pegawai perkhidmatan awam diwajibkan memakai pakaian batik Malaysia pada setiap hari Khamis manakala pemakaian batik pada hari bekerja lain digalakkan.

Peraturan itu yang berkuat kuasa 21 Ogos 2023 dinyatakan dalam surat edaran ‘Pemakaian Pakaian Batik Malaysia Semasa Waktu Bekerja Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan’ bertarikh 21 Ogos 2023 yang ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Dr Zulkapli Mohamed.

Menurut surat edaran itu, ketetapan pemakaian batik itu dikecualikan bagi pegawai yang dibekalkan pakaian seragam atau menghadiri majlis rasmi dengan ketetapan kod pakaian tertentu.

“Pemakaian batik Malaysia oleh pegawai perkhidmatan awam sudah dilaksanakan sejak 1985.

“Bagi meneruskan sokongan kepada industri batik Malaysia dan memastikan ia kekal sebagai warisan dan lambang identiti rakyat Malaysia, kerajaan bersetuju semua pegawai awam diwajibkan memakai pakaian batik Malaysia pada setiap hari Khamis dan digalakkan pemakaiannya pada hari bekerja lain,” demikian menurut surat edaran itu.

Surat itu yang dimuat naik menerusi laman Facebook rasmi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini, turut diedarkan kepada semua perkhidmatan awam negeri, pihak berkuasa berkanun dan pihak berkuasa tempatan.

Surat edaran itu turut menyatakan melalui ketetapan baharu itu, Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2021 mengenai Pemakaian Pakaian Batik Malaysia bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan, dibatalkan.

Semakan terhadap Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2021 menyatakan pemakaian batik Malaysia pada setiap Khamis, digalakkan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button