Amerika SyarikatBerita UtamaDuniaUtama

Baitulmaqdis: Amerika guna kuasa veto tolak resolusi PBB

NEW YORK, 30 Rabiulawal 1439H, Selasa – Amerika Syarikat (AS) hari ini, membuktikan sekali lagi kepada dunia sokongan tidak berbelah-bahaginya kepada rejim Zionis Yahudi apabila menggunakan kuasa veto untuk menolak deraf resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).

Terdahulu, UNSC membuat keputusan menolak pengiktirafan Presiden Donald Trump menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, dan rancangannya untuk memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke bandar yang dijajah dan diduduki secara haram oleh rejim Israel.

Duta AS ke PBB, Nikki Haley mendakwa Baitulmaqdis adalah tanah air bagi budaya, politik dan kepercayaan Yahudi sejak ribuan tahun lalu – mereka tidak ada ibu negara lain.

“Amerika Syarikat mempunyai kedaulatan untuk menentukan di mana dan sama ada kami menempatkan kedutaan,” kata Haley sambil menggambarkan undi Majlis Keselamatan itu sebagai ‘penghinaan yang tidak akan dilupakan’.

Bersama Britain, Perancis, Russia dan China, AS adalah anggota tetap Majlis Keselamatan, yang mempunyai kuasa veto untuk menghalang sebarang resolusi daripada diluluskan.

Duta Palestin ke PBB, Riyad Mansour berkata, keputusan AS itu mendorong Israel untuk meneruskan jenayah terhadap rakyat Palestin dan menduduki wilayah Palestin secara haram.

Deraf yang disediakan Mesir mengulangi pendirian PBB sebelum ini mengenai Baitulmaqdis, yang mengesahkan bahawa apa-apa keputusan dan tindakan yang berupaya mengubah status atau komposisi demografi Baitulmaqdis tidak ada kesan undang-undang, adalah batal dan tidak sah dan mesti mematuhi resolusi Majlis Keselamatan.

Sejak 1970, Amerika telah menggunakan kuasa vetonya untuk menolak 42 resolusi Majlis Keselamatan terhadap rejim Zionis Israel. – Agensi

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close