Pendapat

Kecaman terhadap GTA bukti kuasa politik lawan makin lemah

Rakyat perlu bijak pilih kepimpinan corak masa depan

ANTARA tanda-tanda pihak lawan mula gelisah dengan kehadiran muka-muka baru dan muda usia dalam PRU15 ini, khususnya dari Gerakan Tanah Air (GTA) melalui parti Pejuang, itu isyarat bahawa penguasaan politik pihak lawan semakin lemah.

Ini permulaan kepada satu proses kematangan berpolitik untuk rakyat dan pengundi.

Negara telah menyaksikan tumbangnya satu ‘raksaksa’ politik yang berusia 60 tahun lebih, rebahnya gabungan pembangkang yang sempat bertahan selama 22 bulan sahaja, bertukarnya beberapa Perdana Menteri dalam tempoh tidak sampai 5 tahun dan berlakunya pendakwaan rasuah terhadap beberapa pimpinan politik ‘veteran’ baik dari parti pemerintah mahupun pembangkang.

Semua ini adalah satu situasi menarik yang belum pernah disaksikan oleh rakyat Malaysia sejak dua dekad lalu.

Satu perkembangan lain ialah terbentuknya gabungan-gabungan parti politik yang bertanding di dalam PRU15 dan bukan lagi atas tiket parti masing-masing. Parti-parti seperti Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) juga sepatutnya bertanding atas gabungan politik bernama Gerakan Tanah Air (GTA). 

Akan tetapi oleh kerana permohonan untuk mendaftarkan GTA tidak diluluskan (sebelum pembubaran Parlimen), maka keempat-empat parti tersebut telah bersetuju untuk menghantar calon masing-masing bertanding atas tiket Pejuang. 

Rakyat dan pengundi kini berhadapan dengan situasi di mana mereka perlu membuat pilihan atau memangkah calon-calon dari gabungan politik dan bukan lagi parti-parti politik secara berasingan. 

Mereka juga perlu membuat keputusan memilih gabungan politik yang memiliki agenda perjuangan yang berbeza-beza dasar dan adakalanya bertentangan prinsip antara satu sama lain.

Barisan Nasional (BN) dianggotai oleh parti-parti UMNO, MIC, MCA dan PBRS.

Pakatan Harapan (PH) dianggotai oleh DAP, PKR, PAN dan UPKO.

Perikatan Nasional dianggotai oleh Bersatu, PAS, Gerakan, SAPP dan STAR.

GTA pula (walaupun belum didaftarkan) mempunyai prinsip perjuangan yang seragam yang dikongsi bersama oleh parti-parti di dalam gabungannya. 

Ini adalah gabungan parti-parti Melayu bersama-sama dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, tokoh-tokoh masyarakat dan golongan profesional yang tidak berparti tetapi memiliki cita-cita yang sama. 

GTA adalah satu gagasan baru yang menawarkan alternatif untuk menjamin kepentingan dan masa depan bangsa Melayu dan agama Islam dapat dipelihara dan dipertahankan. 

Ini bukanlah sesuatu yang luar biasa atau pelik memandangkan objektif dan matlamat di sebalik gagasan ini semuanya termaktub dan diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

GTA juga telah berusaha untuk menawarkan kerjasama politik dengan BN dan juga PN bagi menghadapi PRU15, akan tetapi inisiatif ini telah ditolak.

Jadi kita merasa pelik bila mana kehadiran calon-calon Pejuang (GTA) dianggap sebagai pemecahbelah kesatuan dan perpaduan bangsa dan umat. Kecaman dan kritikan terhadap calon-calon Pejuang bukan lagi berdasarkan hujah atau perbincangan yang matang, akan tetapi lebih kepada kecaman bersifat peribadi dan sentimen di luar batas-batas adab dan akhlak. 

Rakyat, umat dan bangsa mempunyai kuasa penentu sebenar untuk mencorakkan masa depan negara dan kepimpinan mana yang ingin diberi kepercayaan untuk tempoh 5 tahun lagi.

Adakah memilih gabungan politik yang di dalamnya amalan rasuah, salah guna kuasa, perebutan jawatan, dayus kepada sentimen anti-Islam, dominannya ideologi liberalisme, sekularisme, sosialisme dan kesesatan berleluasa …

Atau,

Memberi mandat dan kepercayaan kepada barisan kepimpinan alternatif yang berpegang pada prinsip?

Renung-renungkan …

Mohd Luttfi Abd Khalid
Pengerusi iPeguam/Pemerhati politik

#GerakanTanahAirUntukNegara

#CalonMuslimBerwibawa

#DemiMalaysiaUnggul

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button