Berita Utama

MB Kelantan nasihat lawan politik supaya tidak cepat ‘koyak’

‘Setakat ini saya belum terima notis tuntutan mohon maaf’

BANGI, 3 Safar 1445H, Ahad – Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud secara terbuka menasihati pihak lawan iaitu Barisan Nasional-Pakatan Harapan (BN-PH) supaya lebih matang dan tidak mudah ‘koyak’ dalam meneruskan perjuangan politik.

Nasihat berkenaan disuarakan susulan tuntutan dua wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim dan DUN Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim daripada yang PH menuntut permohonan maaf secara terbuka daripadanya dalam tempoh tujuh hari bermula hari ini.

Kedua wakil pembangkang itu mendakwa kenyataan dikeluarkan Mohd Nassuruddin sebelum ini dianggap angkuh dan sinikal berikutan menganggap dua wakil rakyat daripada PH dan BN itu menolak perjuangan Islam.

“Kita kalau hendak terlibat dalam politik jangan mudah koyak.

“Mengenai tindakan undang-undang (BN-PH), kita tengok dulu surat (notis). Setakat ini, saya belum terima,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.

Terdahulu, Mohd Nassuruddin dalam satu rakaman video tular mendakwa kemenangan PAS dalam PRN baru-baru ini adalah kemenangan perjuangan Islam.

Beliau turut menyifatkan dua kerusi yang dimenangi PH-BN sebagai pihak yang ‘menentang perjuangan Islam’.

Bagaimanapun, Mohd Syahbuddin menggesa supaya Menteri Agama, mufti serta golongan alim ulama memberikan pandangan berkaitan kenyataan Menteri Besar Kelantan.

Katanya, sebagai Menteri Besar sewajarnya pendekatan perpaduan dan penyatuan menjadi pilihan berbanding tuduhan melulu.

“Saya sudah mengarahkan peguam saya untuk menghantar notis tuntutan permohonan maaf secara terbuka kepada Galas dan Kota Lama serta rakyat Kelantan yang mengundi BH-BN.

“Saya yakin pengundi PH-BN di Kelantan kekal teguh mempertahan Islam, bangsa dan tanah air tanpa prejudis.

“Kita tidak boleh berkompromi dan membiarkan ucapan serta budaya pemecah belah umat berterusan dalam negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Dr Hafidzah pula menyifatkan kenyataan Menteri Besar Kelantan itu sebagai khurafat politik yang perlu ditentang.

“Kita tidak boleh diam kerana ini seolah-olah kenyataan yang dibuat Menteri Besar itu adalah betul,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button