Berita UtamaPendapat

Cukup-cukuplah ‘sanjung’ ahli politik disabit kes mahkamah

Duit, pangkat, harta, nafsu memang ujian buat sang pemimpin

KITA boleh berlapang dada menerima bahawa sistem perundangan negara kita berada pada tahap yang baik. Walaupun pada mata kasar, kecil besarnya nilai hukuman itu masih ramai yang mempertikai, tetapi sekurang-kurangnya, sistem perundangan negara telah membuktikan tidak ada seseorang pun yang boleh berdiri lebih tinggi dari undang-undang negara.

Jika dahulu ada satu parti itu yang didakwa dan didapati bersalah oleh sistem perundangan, maka diajaknya rakyat turun ke jalanan. Diheret ribuan rakyat mendukung perjuangan ‘suci’ malah memaksa rakyat untuk menerima bahawa hukuman yang diterima adalah hasil ‘dendam politik’ dan sebagai salah satu misi ‘pembunuhan’ karier politiknya.

Seakan ‘dejavu’ apabila seorang lagi ahli politik negara seolah ingin mengulang perkara yang sama. Walaupun orang kiri dan kanannya mengulang kenyataan bahawa mereka ‘menghormati’ keputusan mahkamah, tetapi ada ayat ‘dengan dukacita’ dalam perenggannya. Ini menunjukkan dan memberi satu signal yang salah terhadap penghakiman Mahkamah Tinggi saya kira. Bagi saya kalau benar anda menghormati keputusan mahkamah maka cukup sekadar itu. Terimalah dan berilah sokongan untuk si pesalah meneruskan rayuan di peringkat lebih tinggi demi membuktikan sebaliknya.

Namun apa yang lebih penting adalah, cukup-cukuplah untuk mendukung ahli politik yang disabit kes mahkamah ini. Apatah lagi yang sudah didapati bersalah oleh penghakiman. Ya, benar. Alasan kamu katakan ini baru peringkat mahkamah tinggi (dengan alasan seorang hakim itu mungkin bias).

Nota yang paling penting sebenarnya adalah, politikus yang didapati bersalah itu boleh hidup pun tanpa kamu mendukung dan berhimpun untuk mereka. Biarkan ahli politikus itu, jutaan wangnya dan barisan peguam handalannya untuk berentap mempertahankan dirinya yang telah disabitkan kesalahan itu berjuang dalam sistem perundangan yang luas itu.

Mengangkat sosok tubuh politikus yang disabitkan dakwaan di mahkamah baik kes rasuah atau moral peribadinya adalah satu kerugian buat umat. Kita bukanlah ketandusan barisan pemimpin yang berwibawa.

Tidak memuja-memuji berhimpun berteriak di hadapan mereka dalam perkarangan mahkamah tidaklah menjadi mereka bersalah. Dan begitu sebaliknya. Biarkan mereka tenang berjuang ‘mensucikan’ nama mereka jika sememangnya mereka tidak berbuat kesalahan seperti didakwa. Kita kata sistem kehakiman kita adil, maka biarkan ia berfungsi tanpa kita perlu menjadi ‘hamba’ pada penghuni kamar mahkamah.

Duit, pangkat, harta dan nafsu memang akan menjadi ujian buat sang pemimpin.

Moga Allah lindungi kita dan keturunan kita.

Amin.

 Hazwan Mohamad
Ketua Angkatan Pemuda Pemudi BERJASA

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button