a
Terkini
12/12/2017, 11:47 pm

Hamas isytihar Intifada bermula esok

GAZA, 18 Rabiulawal 1439H, Khamis – Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) mengisytiharkan intifada baharu bermula esok, selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Intifada merupakan titik kebangkitan umat Islam Palestin menentang penindasan dan rampasan tanah Al-Quds yang mulia semenjak tahun 1948.

Perkataan Intifada berasal daripada bahasa Arab yang bererti “kebangkitan” dan ia adalah sebagai kebangkitan umat Islam Palestin menentang penjajahan Israel.

Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyah dalam ucapannya hari ini berkata, pengumuman Trump semalam menandakan peralihan dasar Washington terhadap penyelesaian konflik Israel-Palestin, sekaligus menunjukkan penolakan kepada penyelesaian dua negara.

“Baitulmaqdis telah diculik dan dirampas daripada kita. Dengan ini kita telah mengeluarkan arahan kepada semua anggota Hamas dan sayapnya.  

“Mereka perlu bersedia sepenuhnya atas apa-apa arahan atau perintah baru untuk menghadapi bahaya strategik yang mengancam Baitulmaqdis dan Palestin,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada arahan Trump semalam, yang mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara rejim Israel yang baharu.

Trump juga mengumumkan AS sedang membuat persiapan memindahkan kedutaannya di Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

Ismail berkata, hakikat yang tidak berubah adalah seluruh Baitulmaqdis adalah milik Palestin.

Katanya, apa yang perlu ketika ini adalah Presiden Palestin perlu segera menarik diri daripada perdamaian dengan Israel, dan seluruh orang Arab perlu memboikot pentadbiran Trump.

Intifada Pertama bermula pada tahun 1987 dan kemudian diikuti Intifada Kedua pada tahun 2000.

Kemudiannya pada tahun 2015 Intifada memasuki fasa kebangkitan hebat Hamas dan rakyat Palestin. -Agensi

Share With:
Rate This Article
Author

admin@ismaweb.net

No Comments

Leave A Comment