a
Terkini
12/12/2017, 11:42 pm

Amerika hipokrit, Israel zalim

AMERIKA Syarikat (AS) adalah sebuah negara yang dikatakan sentiasa memperjuangkan hak asasi manusia, dan juga mempunyai kuasa veto di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Mereka juga digelar ‘polis dunia’ kerana sering sahaja campur tangan dalam urusan negara lain, khususnya negara Islam, kononnya untuk menegakkan demokrasi.

Mereka menggunakan pelbagai alasan, termasuk menuduh negara tertentu seperti Iraq di bawah pentadbiran Saddam Hussein memiliki senjata pemusnah besar-besaran (WMD), untuk mencampuri urusan dan kedaulatan negara berkenaan.

Negara Islam, pertubuhan Islam dan umat Islam kerap menjadi sasaran AS, sama ada diserang, diboikot, dihalang, dianggap pengganas dan banyak lagi penindasan yang dilakukan.

Terbaharu, Presiden AS, Donald Trump telah melakukan suatu jenayah besar terhadap dunia Islam dan umat Islam apabila mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara kepada negara haram Israel – sebuah rejim yang telah melanggar pelbagai bentuk hak asasi manusia di atas muka bumi ini, termasuk hak rakyat Palestin untuk hidup di tanah tumpah darah sendiri.

Dalam sesi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia atau Human Rights Commission (HRC) di Geneva pada Mac 2017, Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia (HAM) PBB, Emir Zaid bin Ra’d menyatakan bahawa sudah lebih daripada setengah abad Israel menjajah Palestin dengan membangun penempatan haram Yahudi.

Antara resolusi yang telah disepakati ialah mengarahkan Israel menghentikan semua pembinaan penempatan haram di tanah Palestin yang dijajah, menghalang negara lain memberi sebarang bantuan kepada Israel dan melaksanakan langkah mengembalikan hak asasi manusia kepada warga Palestin.


Tetapi, apa yang kita boleh lihat sekarang, semua cadangan PBB ditolak, penempatan haram masih diteruskan dan hak asasi manusia warga Palestin masih dinafikan, malah dinafikan juga.

Ditambah pula dengan sokongan padu Amerika yang telah memutuskan Baitulmaqdis menjadi ibu negara haram Israel, iaitu tempat letaknya Masjidil Aqsa yang merupakan masjid suci ketiga umat Islam.

Jelas di sini bahawa tindakan ini mengukuhkan lagi kedudukan negara haram Israel dan menafikan hak negara Palestin yang telah menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara selama ini. Palestin dan Baitulmaqdis adalah hak milik orang Islam selamanya di mana ia adalah bumi yang diberkati seperti yang termaktub dalam Surah Al-Isra’ ayat 1, yang bermaksud:

“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Oleh itu, semua orang Islam yang mengaku dirinya beriman perlu bangkit menentang jenayah ini dan kami syorkan agar Amerika dan Israel dibawa ke muka pengadilan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa, dilucutkan keahlian PBB mereka dan dihukum seadilnya.

Warga Malaysia disarankan meneruskan pemboikotan barangan, makanan dan alat-alat teknologi Israel dan Amerika, buat bantahan dan tandatangan petisyen beramai-ramai serta tidak berhenti berdoa semoga Palestin terus di bawah perlindungan Allah SWT.

Dr Norzila binti Baharin
Ketua Biro Komunikasi dan Multimedia Isma

Share With:
Rate This Article
Author

admin@ismaweb.net

No Comments

Leave A Comment