Berita Utama

Isu kain rentang, PAS Jelebu nafi diperguna PN

Tiada sengketa antara rakan komponen Bersatu, Gerakan

JELEBU, 19 Rabiulakhir 1444H, Isnin – PAS Jelebu menafikan parti dipergunakan oleh gabungan Perikatan Nasional (PN) berikutan penyebaran kain rentang di beberapa kawasan bandar tersebut sejak beberapa hari lalu.

Timbalan Yang Dipertua PAS Jelebu, Muhammad Faudzi Jalil berkata, petugas parti itu menyedari kewujudan kain rentang yang dipasang di beberapa lokasi yang mempertikaikan kerjasama PAS dengan Bersatu.

“Kami menerima banyak aduan mengenai kain rentang dan sehingga kini lima lokasi di kesan termasuk di sebuah sekolah di Kuala Klawang, kira-kira jam 7 pagi semalam,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Faudzi berkata, pihaknya tidak mahu menuduh dan memperbesarkan isu kain rentang berkenaan sebaliknya berharap kejadian berkenaan membawa rahmat dan sekali gus memberi kemenangan kepada partinya.

“Saya tidak menuduh mana-mana pihak kerana saya percaya apa yang berlaku akan memberi kebaikan dan rahmat kepada PN seterusnya memenangi kerusi Parlimen Jelebu,” katanya.

Pada masa sama, beliau menyifatkan ada pihak lain yang cuba mengambil kesempatan menggantung kain rentang berkenaan untuk menggambarkan rasa tidak puas hati ahli-ahli parti.

Beliau menegaskan, sebagai parti gabungan dalam PN, PAS menjalankan gerak kerja kempen dalam suasana yang baik bersama Bersatu dan Gerakan.

“Saya yang mewakili PAS menafikan sekeras-kerasnya perkara berkenaan ada berlaku, sebaliknya kami bekerjasama dalam semua perkara dengan suasana harmoni, dalam keadaan berkasih sayang dan mesra,” katanya.

Katanya, tiada sengketa atau mana-mana parti dipergunakan mahupun mengambil kesempatan kerana kesemua parti gabungan itu dalam kesepakatan yang baik.

Mengambil langkah selamat selain membersihkan maruah parti, Muhammad Faudzi berkata, pihaknya telah membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Klawang pada jam 3.18 petang, semalam.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button