Pekerja wanita dilarang bertudung satu penghinaan ke atas Islam: Mufti Perak

IPOH, 25 Safar 1439H, Selasa – Polisi hotel bertaraf antarabangsa di Malaysia yang melarang pekerja wanita bertudung disifatkan sebagai satu penghinaan terhadap Islam.

Hal ini disuarakan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang mengulas mengenai isu pekerja hotel wanita dilarang bertudung khususnya yang berada di bahagian perkhidmatan pelanggan (front desk).

Beliau tidak bersetuju akan prosedur yang diamalkan oleh pihak hotel tertentu khususnya hotel antarabangsa.

Menurutnya, sebarang peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) antarabangsa yang digunakan mestilah bersesuaian dengan undang-undang negara termasuklah Islam merupakan agama rasmi.

Justeru, syarikat perhotelan perlu mengetahui budaya dan adat masyarakat terutamanya yang beragama Islam.

“Apa salahnya nak pakai tudung dalam negara Islam. Kenapa nak diskriminasi kepada orang Islam sahaja sedangkan ia tak patut berlaku.

“Memang diketahui pemakaian tudung adalah wajib bagi wanita Muslim. Tak patut kenakan syarat ini melainkan mereka memang sengaja nak menghina Islam,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Sementara itu, beliau turut menyatakan bahawa diskriminasi seperti ini tidak patut berlaku dan agama Islam sebagai agama persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan yang harus dipertahankan.

“Sepatutnya orang Islam tidak boleh patuh dengan peraturan seperti ini. Takut kepada Allah lebih utama daripada takutkan manusia. Kita bertuhankan Allah, bukan bertuhankan manusia,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *