Norma antarabangsa ‘kepala… kau…’


SAYA sangat teruja untuk mengulas kenyataan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) yang mempertahankan tindakan sesetengah hotel di negara ini yang melarang wanita bertudung daripada bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan (front desk).

Kononnya, ini dasar antarabangsa. Dasar antarabangsa apa ini! Dasar kepala…! Ini tidak termasuk gambar papan tanda hotel yang tidak membenarkan wanita bertudung mandi di kolam renang yang tular sebelum ini.

Hotel ini terletak di mana? New York? London? Las Vegas? Mexico? Jelasnya hotel ini terletak dalam sebuah negara Islam yang bernama Malaysia yang mendaulatkan Islam dan pribuminya iaitu orang Melayu dan Bumiputera. Pendek kata, ultra kiasu ini antara mahu dengan tidak sahaja.

Sama juga isu pramugari, boleh atau tidak memakai tudung. Mahu atau tidak? Dasar antarabangsa juga? Dasar kepala…Banyak juga syarikat penerbangan yang memakai tudung seperti Gulf Air, Emirates, Iran Air, Royal Brunei. Tiada masalah pun.

Malangnya, syarikat penerbangan negara kita sama ada yang murah atau tidak, tidak ada satu pun yang membenarkan pramugarinya memakaikan tudung, kecuali penerbangan sewa khas umrah atau haji. Malah, pakaian mereka semakin lama semakin singkat dan semakin besar belahnya.

Saya masih ingat, dahulunya, memang skirt pramugari mereka berada bawah paras lutut. Hari ini, semuanya di atas lutut dan semakin singkat. Ini tidak termasuk dadanya semakin terbuka. Ini belum termasuk yang berbelah dan kebaya putih yang sangat jarang menutupi badan pramugari tersebut. Dasar lain, buat lain. Dasar kepala … apa ini?

Peliknya, pemberita tidak pula mensensasikan berita ini. Sekarang telah wujud suatu budaya dalam kalangan wartawan ultra kiasu mencari kelemahan syarikat orang Islam yang dilabelkan bersifat ‘rasis’ untuk disensasikan. Jika sebelum ini syarikat dobi, hari ini muncul pula kedai produk kecantikan untuk orang Islam sahaja sengaja disensasikan.

Kenapa mereka tidak sensasikan iklan ‘for chinese only’?

Berbalik kepada isu bertudung di hotel antarabangsa, hotel ini berdiri di mana? Jika berdiri di bumi bertuah ini, tidak kiralah norma antarabangsa atau tidak, hormatilah identiti dan jati diri mereka.

Saya mohon kerajaan mengadakan garis panduan kepada pelabur luar yang berniaga di sini. Saya lihat di Brunei begitu banyak hotel mewah, lebih mewah daripada yang ada di sini. Kenapa di Brunei boleh melaksanakan apa yang dikehendaki oleh pihak berkuasa mereka, manakala kita di sini tidak boleh? Bukankah agama Islam termaktub sebagai agama Persekutuan?

Apabila saya berkunjung ke Brunei, terasa nyaman sekali. Bermula dengan menaiki Royal Brunei, pramugara dan pramugari manis bertudung memberikan salam. Tidak pula menggunakan good morning, afternoon, evening atau good night. Mereka tahu, bila Islam diberikan salam. Kepada bukan Islam, ucapan yang sepatutnya.

Sebelum kapal terbang berlepas, akan kedengaran doa yang dibaca secara live. Pramugara dan juruterbang dilatih untuk membaca doa. Kita yang mendengar berasa sangat dekat dengan Allah. Apabila mendarat, kalimah Alhamdulillah jelas berkumandang, bagi menzahirkan rasa syukur kepada Allah SWT kerana telah selamat mendarat. Begitu nyaman sekali.

Malangya, kapal terbang kita tidak pernah sekali diperdengarkan doa, begitu juga dengan kalimah Alhamdulillah setelah selamat sampai, kecuali dilakukan oleh pramugara atau inisiatif sendiri. Itu pun jika selalu disebut, tidak mustahil akan dikenakan tindakan tatatertib. Tetapi itulah identiti Islam. Hubungannya dengan Allah berpisah tiada.

Pendek kata, bermula dengan menaiki kapal terbang sehinggalah sampai ke negara Brunei penuh dengan jati diri dan identiti. Masuk ke hotel mereka juga begitu nyaman sekali. Banyak juga hotel antarabangsa di situ, malah ada hotel yang sangat mewah, tetapi tidak ada pula polisi, gadis bertudung tidak boleh bekerja di bahagian front desk.

Malam-malam di Brunei begitu nyaman. Sunyi sepi dan sangat indah. Tidak ada aktiviti liar dan mungkar, apatah untuk melihat anak muda merempit. Pendek kata, malam-malam di hotel antarabangsa di Brunei begitu mengasyikkan. Saya lihat begitu ramai pelancong antarabangsa di Brunei.

Tidak pula mereka mengidamkan arak, pelacur, dan sebagainya. Kenapa kita selalu terlebih perasan, pelancong datang mahukan arak, pelacur, hiburan mengghairahkan dan lain-lain. Akhirnya, anak gadis kita juga yang menjadi mangsa dan korban kemodenan dan pembaratan.

Sebab itu saya amat kagum dengan pasar raya antarabangsa seperti Tesco, Aeon Big, Jusco, IKEA dan lain-lain yang melabur di negara kita. Mereka ini sangat menghormati sensitiviti orang tempatan, ibarat di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Papan tanda mereka mendaulatkan Bahasa Kebangsaan. Lihat surau-surau mereka, terletak di kawasan yang sangat strategik dan memudahkan pelanggan untuk bersolat.

Berbanding dengan dengan pasar raya tempatan, yang sepatutnya lebih memahami sebab mereka lebih bersifat ketempatanan. Tetapi layanan mereka sangat berbeza. Surau-surau tercerok entah ke mana.

Tetapi tidak boleh salah mereka juga. Sebab semua plan bangunan dihantar kepada PBT untuk kelulusan dan begitu juga dengan pemantauan aktiviti mereka. Termasuk juga nama-nama pusat komersial, bangunan dan sebagainya. Kadang-kadang nama-nama langsung tidak mencerminkan jati diri negara ini tetapi pegawai PBT buat pejam mata sahaja. Sudah butakah mata hati mereka?

Saya menyokong gesaan Mufti Perlis agar lesen perniagaan mana-mana syarikat yang mengamalkan diskriminasi terhadap wanita bertudung ditarik balik dan dikenakan tindakan.

Kadang-kadang kasihan melihat anak dara kita, yang asalnya mereka bertudung, tetapi dek kerana mencari sesuap nasi terpaksa membuka tudung dan berpakaian seksi. Mereka menjadi korban apa yang kita katanya modenisasi. Inilah yang berlaku kepada semua syarikat penerbangan di negara kita.

Bagi yang awalnya tidak bertudung, tidak mengapalah. Tetapi bagi mereka yang awal memakaikan tudung dan ada yang sudah bekerja mahu bertudung, tidak dibenarkan bertudung. Jika ada yang mahu meneruskan memakai tudung terpaksa berhenti menjadi pramugari.

Berbanding pramugara, lain pula caranya. Pramugara menutup keseluruhan anggota, kecuali muka dan tapak tangan. Pelik pramugari terbuka habis. Polisi antarabangsa apa ini? Kepala… Malang pejuang-pejuang hak asasi manusia tidak langsung bersuara atau memperjuangkan nasib anak dara kita yang mahu mengekalkan jati diri agama dan kelembutan orang Asia.

Justeru, saya memohon kepada pihak yang bertanggungjawab supaya menyelamatkan anak bangsa kita ini daripada dirosakkan oleh tangan-tangan ultra kiasu jahat ini. Mereka semua adalah dalam kalangan ultra kiasu yang sentiasa mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan tanpa mempedulikan agenda negara dan jati diri negara.

Mangsa korbannya adalah orang Islam. Perancangan untuk menyesatkan anak bangsa ini mesti dihentikan segera sebelum terlambat.

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana, mahupun pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *