Gempa bumi Iraq-Iran: Mangsa bawah timbunan runtuhan terus dicari

KERMANSYAH (IRAN), 25 Safar 1439H, Selasa – Pekerja penyelamat di barat Iran sedang mencari mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan selepas gempa bumi yang kuat melanda wilayah sempadan Iraq-Iran.

Persatuan Bulan Sabit Merah Islam Iran telah mengerahkan kakitangan dan sukarelawan untuk membantu operasi menyelamat dan bantuan.

Namun, mereka berkata, peluang untuk mangsa bertahan hidup adalah tipis bagi mereka yang terperangkap di dalam runtuhan.

“Kebanyakan rumah binasa di Kermanshah dan orang ramai terperangkap di bawah batu bata dan serpihan selepas gempa bumi.

“Bersama-sama kami, keluarga mangsa yang terperangkap juga membantu menarik mangsa yang masih hidup. Operasi menyelamat lambat dan sukar … Kami telah menarik mayat sejak semalam,” kata Sukarelawan Persatuan Bulan Sabit Merah, Ali Sadeghi, kepada Al Jazeera.

Survei Geologi AS berkata, terdapat sekurang-kurangnya 150 gempa susulan berikutan gempa bumi awal.

Kerosakan terburuk berlaku di bandar Sarpol-e Zahab di Kermanshah, yang mana terletak di Gunung Zagros yang membahagikan Iran dan Iraq.

Pegawai tempatan berkata, angka kematian boleh meningkat.

Penduduk Sarpol-e-Zahab berkata, bekalan tenaga dan air telah terputus di bandar dan perkhidmatan telefon juga tidak berada dalam keadaan yang baik.

Lebih 400 orang terbunuh di Iran dan Iraq dan 7,000 cedera apabila gempa bumi magnitud 7.3 melanda kedua-dua negara pada Ahad lalu menyebabkan kerosakan yang paling dahsyat di wilayah Kermanshah, sebuah kawasan pergunungan di Iran. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *