Diskriminasi hotel terhadap muslimah menerusi papan tanda kolam renang

SEKITAR tahun 2016, dunia dikejutkan dengan pengharaman pemakaian pakaian renang wanita atau burkini atau pakaian renang Muslimah di pantai awam oleh Perancis.

Insiden berbaur Islamophobia dan pencabulan hak asasi manusia ke atas wanita Islam itu merebak ke negara-negara Eropah apabila terdapat aduan bahawa wanita muslim dilarang memakai burkini, di kolam-kolam renang di United Kingdom (UK), Austria, Portugal dan German.

Bahkan, seorang wanita muslim di Austria diarahkan untuk membayar kos mencuci kolam renang hanya kerana dia memakai burkini, yang materialnya adalah sama seperti bikini biasa iaitu daripada fabrik polyester.

Islamophobia, terutama terhadap wanita Islam dalam bentuk pengecualian mereka daripada aktiviti bersama masyarakat, hanya kerana mereka menutup aurat adalah suatu fenomena yang perlu diberi perhatian.

Justeru, amat dikesalkan apabila terdapat aduan daripada pengguna mengenai papan tanda di sebuah hotel di Pahang yang mengelirukan berkenaan larangan pakaian tertentu di kolam renang (gambar atas). Larangan itu memaparkan grafik di mana dua daripadanya adalah rajah seakan-akan burkini dan satu lagi jelas rajah wanita bertudung.

Perkara yang menjadi isu utama di sini adalah pihak hotel yang menggunakan papan tanda yang jelas memaparkan simbol agama bagi kelompok tertentu, iaitu pakaian yang menutup aurat untuk muslimah.

Ia suatu bentuk diskriminasi dan menafikan Perkara 11 (1) Perlembagaan Persekutuan bahawa semua pihak bebas mengamalkan agama masing-masing.

Amat mendukacitakan kerana setelah 60 tahun kita merdeka, umat Islam yang merupakan rakyat majoriti, 61 peratus daripadanya masih berdepan halangan dalam mengamalkan cara hidup mereka melalui paparan papan tanda yang boleh diterjemahkan sebagai mempunyai unsur Islamophobia.

Dewasa ini, sudah banyak pakaian renang muslimah yang mematuhi kod piawaian kolam renang di pasaran, lengkap dengan tudung bersesuaian (swimming hijab).

Papan tanda yang menggunakan simbol agama itu mengakibatkan ramai wanita Islam keliru dan menyangka pakaian renang muslimah tidak dibenarkan. Berdasarkan laporan beberapa pelanggan, ada yang membatalkan hasrat mereka untuk menggunakan kolam renang itu.

Ia menakut-nakutkan pengguna (intimidating). Bahkan ia boleh menimbulkan syak wasangka pengguna bukan Islam yang lain yang mungkin menyangka pengguna muslim tidak mematuhi peraturan apabila mereka sekadar memandang kepada simbol di papan tanda.

Adalah juga tidak adil bagi umat Islam yang menjadi pelanggan hotel untuk terpaksa meminta penjelasan, seperti yang telah kami lakukan, kepada pihak hotel setiap kali mereka ingin menggunakan kemudahan kolam renang.

Ada juga laporan dan insiden di mana pengawal kolam renang turut memahami maksud yang salah daripada papan tanda seperti itu dan tidak membenarkan pengguna muslim menggunakan kolam renang.

Kebanyakan pelanggan muslimah, selain menggunakan kolam renang bagi tujuan riadah, mematuhi arahan pemakaian semata-mata untuk berada di dalam kolam renang bagi memantau anak-anak mereka berekreasi. Penggunaan papan tanda sebegitu turut mendiskriminasi kanak-kanak beragama Islam.

Umat Islam yang menjadi pelanggan hotel berhak menikmati semua kemudahan yang disediakan tanpa didiskriminasikan oleh papan tanda yang menggunakan simbol agama.

Sewajarnya industri perhotelan di Malaysia lebih sensitif dengan meletakkan papan tanda yang jelas yang turut menunjukkan apa yang boleh dipakai oleh penganut agama lain yang mahu mematuhi arahan agama mereka dan apa yang tidak dibenarkan.

Jangan sekali-kali menyamaratakan dengan membuat larangan menyeluruh terhadap hak muslimah memakai pakaian menutup aurat.

Ini selaras dengan titah Majlis Raja-Raja pada 10 Oktober lalu, di mana Duli-Duli Yang Maha Mulia memandang berat isu perpaduan, dan mengingatkan bahawa rakyat wajib memahami dan menghormati prinsip-prinsip utama yang terkandung di dalam Perlembagaan, yang digubal berasaskan persefahaman bahawa negara ini adalah negara yang rakyatnya terdiri daripada pelbagai agama dan kaum.

Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar
The International Women’s Alliance for Family Institution and Quality Education (WAFIQ)

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana, mahupun pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).

One thought on “Diskriminasi hotel terhadap muslimah menerusi papan tanda kolam renang

  1. Assalamu’alaikum Prof.

    Saya mohon disiarkan sama nama hotel tersebut supaya semua umat islam dapat menjauhi diri dari tinggal, makan minum dan juga segala urusan perniagaan dsb.

    Terima kasih

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *