a
Terkini
12/12/2017, 11:47 pm

Keputusan UPSR disertakan pencapaian murid sepanjang persekolahan

NILAI, 3 Rabiulawal 1439H, Rabu – Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) esok akan disertakan pencapaian lengkap murid, sepanjang enam tahun dalam sesi persekolahan termasuk penilaian di dalam bilik darjah dan aktiviti kokurikulum.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan berkata selain keputusan UPSR, penilaian lain yang juga akan diambil kira antaranya Pentaksiran Bilik Darjah (PBD); Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK); Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Alternatif Sekolah Rendah (PASR).

“Murid arus perdana akan memperoleh penilaian bagi PBD, PAJSK, PPsi selain keputusan UPSR manakala bagi pelajar berkeperluan khas, mereka akan memperoleh penilaian khusus iaitu PASR kerana mengikuti Pendidikan Khas.

“Murid dan ibu bapa yang akan mengambil keputusan UPSR akan diberi maklumat lebih mendalam oleh guru berhubung pencapaian mereka,” katanya kepada pemberita pada Karnival Bahasa Tamil Peringkat Kebangsaan Manipal International University, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan, Rozainum Ahmad dan Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Pkharuddin Ghazali.

Kamalanathan, berkata dengan adanya penilaian tambahan terhadap murid seperti ini, ia dapat mewujudkan pelajar yang serba boleh dari semua aspek dan bukan hanya tertumpu kepada pencapaian dalam mata pelajaran sahaja.

“Jadi saya harap pihak sekolah tidak akan membanding-bandingkan keputusan UPSR dengan sekolah-sekolah lain begitu juga keputusan keseluruhan di peringkat daerah,” katanya.

Mengenai Karnival Bahasa Tamil peringkat kebangsaan hari ini, katanya, ia merupakan salah satu inisiatif yang disokong penuh Kementerian Pendidikan bagi melestarikan bidang kesenian Bahasa Tamil dalam kalangan pelajar India di negeri ini.

“Program ini sebelum ini telah dijalankan di peringkat negeri namun ia diperluaskan ke peringkat kebangsaan bermula tahun ini dengan Negeri Sembilan menjadi tuan rumah. Karnival yang sama juga akan dilaksanakan di Kedah, awal tahun hadapan,” katanya.

Jabatan Pelajaran Negeri Selangor dinobatkan sebagai juara keseluruhan bagi Karnival Bahasa Tamil ini. – Bernama

Share With:
Rate This Article
Author

admin@ismaweb.net

No Comments

Leave A Comment