a
Terkini
12/12/2017, 11:43 pm

Dialog antara agama: Di mana kita?

SEORANG tokoh pendakwah Malaysia yang terkenal pernah menceritakan pengalaman beliau terlibat dengan dialog antara agama (inter-faith dialogue) di United Kingdom dalam sebuah gereja.

Beliau dan beberapa orang teman berhadapan dengan jemaah gereja yang jumlahnya puluhan. Maka berlakulah sesi soal jawab sampai hujung program namun sehingga ke pintu keluar mereka dikerumuni para jemaah Kristian yang seakan ‘tidak puas hati’ dan tak habis-habis bertanyakan soalan tentang Islam-Kristian.

Daripada kisah beliau terbayang suasana ‘tegang’ yang berlaku di gereja tersebut.

Apa yang dapat difahami daripada kisah ini ialah sifat (nature) dialog antara agama di United Kingdom yang bersifat terus, telus, tegas terhadap kebenaran sehingga biasanya akan membangkitkan rasa ‘tidak puas hati’ dari satu pihak yang merasa tercabar dengan hujah atau ‘kalah’.

Di Youtube juga banyak kita boleh lihat situasi serupa dalam siri pengucapan awam masyarakat Muslim dengan non-Muslim. Hujah akan dibalas dengan hujah. Bila tak mampu lagi berhujah emosi mula kelihatan. Inilah yang berlaku di sana. Yang paling tajam itu lidah; bak kata al-Ghazali benar-benar terlihat di sana.

Hal yang sama tidak berlaku di Malaysia. Dialog antara agama di Malaysia rata-rata lebih lunak, lembut dan mesra. Fokus utama dilihat adalah untuk mencari titik persamaan antara umat beragama.

Ayat ke-64 surah Ali ‘Imran menjadi asas utama. Mungkin ada yang mengatakan perbezaan budaya kita dengan orang putih. Tak mengapa, itu bukan fokusnya di sini.

Pada hemat saya situasi ini boleh kita lihat dari beberapa sudut:

Pertama, apakah tujuan mencari titik persefahaman ini dalam dialog antara agama di negara kita. Mencari titik persefahaman di kalangan umat beragama sememangnya strategi yang amat penting, khususnya bagi berdakwah kepada ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani).

Malahan ayat 64 surah Ali ‘Imran menurut sesetengah ahli tafsir adalah berlatarbelakangkan peristiwa dakwah kepada Nasrani Najran yang masyhur itu. Bagaimanapun, perlu kita menilai semula sampai bila strategi demikian diguna pakai.

Mencari titik serupa adalah batu asas (foundation) dalam dakwah kepada ahli Kitab, untuk mendapatkan kepercayaan dan keterbukaan mereka terhadap Islam. Ia boleh dianggap sebagai fasa pertama dalam hubungan ini. Soalnya, sampai bila kita mahu duduk dalam fasa pertama? Kebenaran tetap saja perlu diperjelaskan dengan tegas.

Kedua, apakah hala tuju dialog di negara kita? Berbalik kepada perkara yang dinyatakan di atas, adakah mencari titik persefahaman dianggap sebagai MATLMAT atau STRATEGI? Beranggapan bahawa ianya adalah matlamat bukannya strategi adalah satu perjuangan yang hanya separuh jalan.

Ya benar, ia amat penting untuk melestarikan keharmonian antara masyarakat majmuk namun perlu kita sedar matlamat dakwah ialah menyampaikan kebenaran. Pahit sekalipun kebenaran ianya perlu disampaikan, bahkan Islam telah menggariskan adab dan etika dalam berdakwah agar keharmonian tetap dapat dijaga.

Kebenaran Islam perlu juga diterangkan selain daripada keindahan Islam. Seandainya mencari ‘common ground’ dianggap sebagai matlamat, dikhuatiri lama kelamaan kita akan menerima secara total etika global (Global Ethics) sebagai ‘common ground’ antara umat beragama seperti yang dikemukakan oleh tokoh pluralisme Katholik yang terkenal, Hans Kung.

Ketiga, apakah kekuatan umat Islam dalam dialog antara agama? Adakah kita hanya sekadar mahu duduk bersetuju atas beberapa perkara asas? Adakah kehebatan kita di tahap itu sahaja? Dialog sesungguhnya adalah medan yang penting.

Ia boleh menjadi fasa pertama dalam dakwah kepada non-Muslim. Namun, berapa ramai yang sanggup turun ke medan ini untuk menunjukkan kebenaran Islam? Dalam satu kajian bertaraf phD pada 2015 ada menyatakan kesediaan pemimpin institusi gereja, tokong dan kuil untuk berdepan dengan pimpinan agama lain di Malaysia jauh lebih tinggi berbanding pemimpin institusi agama Islam.

Rata-rata pimpinan Islam menyatakan tidak bersedia untuk bersemuka dengan pimpinan agama lain secara terbuka. Ini hakikat yang perlu ditelan dengan pahit oleh kita hari ini. Hari ini kita tiada Abu Hanifah muda yang berani berdialog secara terbuka dengan golongan ‘Aqlaniyyun.

Tiada salahnya untuk kita mencari titik persefahaman antara umat beragama khususnya di Malaysia yang mempunyai etnografi unik yang jarang ada di mana-mana negara atas muka bumi. Namun sudah tiba masa kita menilai kembali bila agaknya kita nak masuk ‘gear’ kedua.

Ustaz Adam Badhrulhisham
Pensyarah Usuluddin
Kolej Univ Islam Melaka

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak ada kaitan dengan Ismaweb.net. 

Share With:
Rate This Article
Author

admin@ismaweb.net

Comments
  • Salam. Saya pernah tengok di TV dialog di antara agama, kebenaran Islam tidak disampaikan sepenuhnya kerana bimbang terguris hati penganut agama lain. Sepatutnya diterangkan apa yang Allah kata terhadap agama lain di dalam Al-Quran. Wallahua’lam.

    18/11/2017

Leave A Comment