Tragedi Mogadishu: Mimpi ngeri penggali kubur

Mohamed Hassan menggali kubur.

MOGADISHU, 28 Muharram 1439H, Rabu – Penggali kubur satu pekerjaan yang tidak popular, namun besar tanggungjawabnya kepada masyarakat.

Mohamed Hassan, 50, merupakan seorang penggali kubur yang berkhidmat hampir lapan tahun di tanah perkuburan Barakat di pinggir ibu kota Somalia, Mogadishu, di mana sebahagian jenazah mangsa letupan bom trak baru-baru ini dihantar untuk dikebumikan.

Hassan menceritakan kesukarannya sewaktu menguruskan pengebumian jenazah itu, terutama yang kehilangan anggota badan.

Letupan kuat sebuah trak yang berlaku lewat Sabtu lalu di laluan ramai di ibu kota itu, menandakan tugas Mohamed Hassan akan mula sibuk dan perlu menyiapkan ratusan liang kubur baharu untuk saudara seagama yang terkorban.

Tanpa diminta oleh keluarga mangsa yang terkorban dan untuk memudahkan kerjanya, Mohamed Hassan terus menggali, menyediakan satu atau dua liang kubur.

Jenazah pertama mangsa letupan mula tiba di tanah perkuburan itu pada Ahad sekitar jam 6 pagi.

Pihak hospital mengarahkan Mohamed Hassan mengebumikan jenazah yang tidak dapat dikenal pasti identitinya dek kerana kehilangan kepala dan tangan.

“Saya masih ingat dengan jelas jenazah berkenaan kelihatan seperti seorang lelaki warga emas yang kehilangan kepala dan tangan,” katanya kepada wartawan Al Jaazera.

Tanah perkuburan Barakat bukanlah yang terbesar dan agak jauh dari bandar, sudah pasti mereka akan menghantar jenazah ke kuburan lain dan berkemungkinan hanya akan menerima lima jenazah sahaja.

Tetapi sangkaan Mohamed Hassan tidak tepat apabila tanah perkuburan ini berterusan menerima jenazah mangsa korban letupan itu.

Kesedihan kian dirasai oleh Mohamed Hassan apabila sebahagian daripada 17 jenazah yang diterima olehnya merupakan jenazah yang hanya mempunyai bahagian tubuh sahaja yang dibalut dengan kain, untuk dikebumikan.

Mohamed Hassan berkata, beliau tidak pernah menghadapi situasi sebegitu sepanjang bekerja sebagai penggali kubur.

“Kebiasaannya setiap hari, saya hanya menjalankan satu hingga dua pengebumian sahaja dan akan pulang ke rumah pada jam 1 tengah hari oleh kerana urusan pengebumian dijalankan pada waktu pagi,” katanya.

Sementara itu, rakannya juga sebagai penggali kubur mengatakan hal yang sama dan turut bekerja tanpa henti sejak Sabtu lalu sehingga tidak terkira jumlah jenazah yang telah dikebumikan.

Mohamed Hassan turut menyifatkan tragedi letupan ini adalah yang terburuk sepanjang 50 tahun hidupnya di Mogadishu.

“Kejadian ini membuatkan saya menitiskan air mata dan berharap tidak akan melalui situasi sebegini lagi selepas ini,” kata Hassan.

Letupan Sabtu lalu di Mogadishu menyebabkan sekurang-kurangnya 300 orang terbunuh, lebih 300 orang cedera parah, manakala 100 orang lagi dilaporkan masih hilang.

Letupan yang berlaku di persimpangan bandar berkenaan dilaporkan adalah paling dahsyat dalam sejarah negara Afrika Timur itu.

Letupan bom trak di Mogadishu mengorbankan kira-kira 300 orang, lebih 300 cedera dan 100 lagi dilaporkan hilang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *