Suruhanjaya Eropah gesa Suu Kyi ambil semula Rohingya


ROHINGYA, 30 Muharram 1439H, Jumaat – Kesatuan Eropah (EU) menggesa pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi mengambil semula etnik muslim Rohingya yang melarikan diri ke Bangladesh, akibat kekacauan di negara itu.

Naib Presiden EU, Federica Mogherini membuat gesaan itu ketika bercakap dengan Suu Kyi menerusi telefon, semalam.

Beliau juga menggesa penerima Anugerah Noble itu menghentikan keganasan yang berlaku di Rakhine, negeri di barat Myanmar.

Mogherini yang juga wakil Hal Ehwal Luar dan Dasar Keselamatan EU juga meminta Suu Kyi memastikan kebenaran sepenuhnya diberika kepada agensi bantuan asing ke Rakhine serta melaksanakan cadangan Suruhanjaya Anan bagi menangani puncak konflik berdarah dan pembunuhan beramai-ramai itu.

Sebelum ini, Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OHCHR) mendedahkan rejim Myanmar menyusun strategi teratur dan sistematik, termasuk melakukan serangan, bertujuan menghalang etnik minoriti Islam Rohingya daripada kembali ke Rakhine.

Laporan berkenaan berdasarkan kepada wawancara yang dibuat dengan pelarian Rohingya yang tiba di Bangladesh bulan lalu, sekali gus menyifatkan bahawa operasi pembersihan etnik di Rakhine telah bermula sebelum serangan bersenjata di pos kawalan polis rejim pada 25 Ogos lepas.

Setakat ini, lebih 500,000 etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh, sejak serangan muslim Rohingya ke atas beberapa pos kawalan polis sehingga mencetuskan tindak balas kejam tentera rejim Myanmar.

Menurut (OHCHR), lebih setengah juta umat Islam Rohingya dihalau dari Rakhine, malah rumah, tanaman dan perkampungan mereka dibakar.

Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia, Zeid Ra’ad al-Hussein menerusi laporan itu berkata, tindakan itu dilihat sebagai helah oleh rejim Myanmar dengan memindahkan sejumlah besar penduduk Rohingya tanpa berhasrat untuk mengembalikan mereka ke Rakhine. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *