SALAHKAH JIKA PENGUSAHA LAUNDRET MELETAKKAN TANDA “UNTUK ORANG ISLAM SAHAJA”?

Jawapan saya: Tidak.

Sepanjang ingatan saya, saya tidak pernah berjumpa satu peruntukan undang-undang di Malaysia yang mengatakan perbuatan itu salah di sisi undang-undang. Tolong tunjuk kepada saya jika ada.

Pengusaha laundret adalah seorang individu, bukan pihak berkuasa kerajaan. Peruntukan Perlembagaan mengenai kesamarataan (Perkara 8) tidak terpakai kepada seorang individu. Peruntukan itu hanya terpakai kepada kerajaan.

Mari kita lihat peruntukan berkenaan.

Klausa (1) mengisytiharkan bahawa setiap orang adalah sama rata disisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.

Klausa (2) pula melarang adanya diskriminasi, antara lain, atas alasan agama dalam mana-mana undang-undang atau dalam pelantikan kepada apa-apa jawatan dalam sesuatu pihakberkuasa awam atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan perkara yang tersebut dalan klausa itu.

Perhatikan bahawa semua larangan itu tidak berkenaan dengan seorang individu.

Pengusaha laundret adalah seorang ahli perniagaan. Dia boleh memilih untuk berniaga dengan sesiapa yang dia mahu. Dia tidak perlu memberi apa-apa sebab kepada sesiapa.

Seorang peniaga tentu sekali mahu perniagaannya maju. Untuk itu dia perlu menarik seberapa ramai pelanggan ke kedainya. Jika, sebagai seorang pengusaha laundret, dia dapati perniagaannya lebih maju jika ia dibuka kepada orang Islam sahaja, terserahlah kepadanya untuk membuka kedainya kepada orang Islam sahaja.

Jika kebanyakan bakal pelanggannya orang Islam dan mereka tidak akan datang ke kedainya jika mesin yang sama digunakan untuk mencuci basuhan orang bukan Islam biar apa pun sebabnya, apa salahnya jika dia meletakkan tanda itu?

Kita tidak boleh menyalahkan pengusaha laundret jika pelanggan atau bakal pelanggannya tidak suka mesin yang sama digunakan oleh orang bukan Islam untuk mencuci basuhan mereka. Kita juga tidak boleh menyalahkan pelanggan atau bakal pelanggan pekedai itu jika mereka tidak mahu pergi ke kedai itu jika hal seperti itu berlaku.

Mungkin mereka merasa jijik, kotor atau geli memikirkan seluar dalam yang dipakai oleh orang-orang yang tidak membasuh najis kencing, berak dan haidnya atau tuala yang mungkin digunakan untuk mengeringkan bulu anjing juga dimasukkan untuk dicuci dengan mesin yang saya walaupun secara berasingan.

Satu cara lain untuk mencapai tujuan yang sama ialah dengan meletakkan tanda yang menyatakan: Tidak dibenarkan memasuki culi atau seluar dalam yang dipakai oleh orang-orang yang tidak mencuci kencing, berak dan darah haid dengan air; tuala yang digunakan untuk mengeringkan atau terkena bulu anjing atau pakaian atau kain yang terkena darah, daging atau mana-mana bahagian daripada babi atau makanan yang diperbuat daripadanya!

Kita tidak boleh mengharapkan seorang pengusaha laundret untuk menulis sedemikian dan siapakah yang akan membacanya?

Perlu diingati bahawa ini bukan sahaja soal hukum. Ini juga soal perasaan seseoang pelanggan atau bakal pelanggan terhadap persepsinya mengenai perkara tersebut dan reaksinya. Pengusaha laundret adalah penerima akibatnya. Salahkah jika dia cuba mengurangkan kerugiannya dengan berusaha mengelak sebabnya? Mungkin dia sendiri pun merasa geli melihat perkara seperti itu berlaku. Salahkah jika di cuba mengelaknya?

Demikian juga, kebanyakan orang Islam keberataan menyewa rumah mereka kepada orang bukan Islam kerana mereka tidak mahu anjing masuk ke dalam rumah mereka atau makanan yang mengandungi daging babi di bawa masuk ke dalam rumah mereka atau mereka tidak mahu daging babi atau makanan yang mengandungi daging babi diletak di dalam peti ais mereka, jika ia disediakan. Salahkah jika dalam iklan mereka menyebut “Orang Islam Sahaja”?

Jangan terlalu sensitif terhadap perasaan orang bukan Islam sehingga orang bukan Islam tidak perlu sensitif terhadap perasaan orang Islam. Ini tanggungjawab bersama.

Tun Abdul Hamid Mohamad
Bekas Ketua Hakim Negara

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak ada kaitan dengan Ismaweb.net. Artikel ini disiarkan lebih awal dalam www.tunabdulhamid.my 13 Oktober 2017.

11 thoughts on “SALAHKAH JIKA PENGUSAHA LAUNDRET MELETAKKAN TANDA “UNTUK ORANG ISLAM SAHAJA”?

  1. Benar.kepunyaan Nya apa yang dilangit dan bumi.Tapi ada hambaNya yang merasa dengan ciput amanah pengurusan yang diberikan oleh penciptaNya dunia ni ana yang punya bahkan lebih parah kalau takutnya pada manusia melebihi takutnya kepada maha pencipta.macam dikata mulut menafikan perbuatan mengiyakan

  2. Mohamad said bakri

    Salam, kita banyak mengalah, kalau nak diamati non muslim yg banyak buat orang islam tercabar, rata2 pakaian mereka menjolok mata saperti memakai seluar pendek seolah olah itu pakain resmi mereka. Iklan kerja untuk mereka yg berbahasa mandrin sahaja, kenapa perkara ini didiam, tapi kalau orang islam nak jaga halal haram heboh satu negara

  3. Inilah pendapat yg terbaik..sebenarnya kita ini negera islam jadi org islam berhak berbuat demikian,ini bukan deskriminasi,ini adalah kebebasan dalam beragama,apa masalahnya dia letak signboard begitu,biar saja org islam yg menguna pakainya,yg lain boleh la cari kedai yg lain belambak apa kedai laundret kat Malaysia ni,sayahairan perkara sebegini pun jadi isu,ntah lah pa nak jadi..

  4. Sejak bila isu dobi mesra Muslim ini dikupas dari segi undang2? Dari mula, ia bukannya isu perundangan tetapi isu keharmonion kaum berkaitan perkhidmatan yang digunakan secara umum. Walaupun saya akui, tiada undang-undang yang melarang bisnes dobi mesra Muslim di Msia

    Sultan Johor telah bertitah jika isu berkenaan tidak ditangani maka pelbagai kecurigaan lain akan timbul seperti penggunaan wang kertas dan cadar di hotel.

    “Sebagai contoh setiap orang ada membawa duit kertas yang sudah bertukar-tukar tangan.

    “Duit yang sama juga mungkin dipegang penjual babi, penjual arak atau mungkin terkena najis berat.

    “Adakah selepas ini kerajaan kena mengeluarkan duit yang mesra Muslim? Saudara fikirlah sendiri,” titah baginda.

  5. Kalau ada pihak yg terlalu mengira,maka hilanglah semangat 1 Malaysia.Kalau Betul Betul nak kira,hidup menjadi susah. Contohnya, orang bukan Islam minum beer,makan makanan yg dianggap jijik dan haram,terlibat dalam kerja yg dianggap haram,adakah wang pendapatan(cikgu pendapatan) juga haram? Barangan buatan orang Kafir yg berak tak basun contohnya,telefon,kereta,makanan dll juga haram kah?

  6. Mungkin anda khilaf
    benda yg kita tidak nmpak tdk perlu
    ada kesangsian atau syak wsangka
    Sedangkan ada sahabat Baginda Nabi bertanya adakan pinggan kafir boleh kita pakai? Baginda mnjawab
    basuh dan pakai la.
    Buka minda jangan d persempitkan..
    Sesungguhnye Islam tu mudah tp jangan d permudahkan

  7. Saya tidak mahu berbahas dalam perkara ini..sebaliknya mari kita mencari solusinya..jikalau tempat launderetenya adalah pengusaha Islam..& mahu menegakkan cara aturannya mengikut Islam..kita harus menyokongnya..namun mari kita lihat sedalam mana keislamannya..sanggupkah dia menggajikan pekerja yg bekerja di tempat laundrete tersebut untuk memberitahu pelanggannya untuk menggunakan mesin laundrete yg dikhaskan kpd pelanggannya yg terdiri dari orang Islam & bukan Islam..kalau pengusaha launderete itu sendiri tidak sanggup menggajikan pekerja yg boleh menyelasaikan massalah ini kerana takut kekurangan dari segi keuntungan..usah bercakap di dalam menegakkan Islam..Tepuk Dada Tanya Selera…

  8. Menjawab kepada Amsi.
    “Sejak bila ia isu undang2?” Ia isu undang-undang sejak mula lagi, sejak pengusaha dobi diarahkan menutup kedai jika gagal mematuhi titah dan jika tidak suka arahan tersebut boleh keluar negeri.

    Bekas Hakim yang bijaksana telah melihat dari perspektif undang-undang yang mana ianya sememangnya tepat dan berperlembagaan.

    Jika mahu hal-hal hubungan kaum menjadi satu undang-undang, silalah bawa isu ini ke Dewan Rakyat dan Dewan Negeri dan gubal lah satu undang-undang di bawah Pihak Berkuasa Tempatan misalnya, melarang peniaga ‘memilih’ pelanggan-pelanggan mereka berdasarkan kaum, agama, dan sebagainya.

    Setakat ini, perkenan/arahan Sultan / Raja-raja atau fatwa-fatwa Mufti belum lagi menjadi ‘undang-undang’ yang mepunyai kuasa eksekutif dan dikodifikasikan melalui Statut-statut atau Akta-Akta (di bawah Perlembagaan Malaysia).

    Demikian isu yang sedang kecoh ini cumalah sekadar pandangan ‘moral’ sahaja atau kata pasarnya ‘politically correct’.

    Namun begitu saya secara jujurnya suka jika Raja-Raja (yang adil) dan Mufti-mufti (yang bijaksana) mempunyai pemberat dalam ‘memberi arahan’ yang mana jika dilihat dari sudut lain, mereka mungkin mampu melindung ‘rakyat’ dari hal-hal yang membebankan dan dari undang-undang ‘Tyranny’. Contohnya, menghalang dari cukai yang membebankan dikenakan kepada Rakyat. tapi hal ini tidak (belum) berlaku kerana mereka sememangnya tiada ‘kuasa’ eksekutif tersebut.

  9. Menjawab DeeJay,

    re: Ia isu undang-undang sejak mula lagi, sejak pengusaha dobi diarahkan menutup kedai jika gagal mematuhi titah dan jika tidak suka arahan tersebut boleh keluar negeri.

    Kenyataan anda bercanggah dengan perenggan terakhir anda (ayat terakhir).

    Adakah titah Sultan untuk tutup kedai itu suatu undang2 yang wajib dipatuhi? Adakah Sultan Johor mempunyai kuasa undang2 untuk menitahkan seseorang untuk keluar negeri?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *