Pelantikan Dr Zaleha pengiktirafan, penghormatan kepada wanita

 

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 26 Muharram 1439H, Isnin – Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) merakamkan ucapan tahniah terhadap pelantikan Rektor Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Datuk Dr Zaleha Kamarudin sebagai hakim Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu.

Perlantikan Dr Zaleha mencipta sejarah tersendiri apabila muncul sebagai wanita pertama yang dilantik memegang jawatan sedemikian di negara ini.

Timbalan Ketua Wanita Isma, Ustazah Zakiah Ab Rahman berkata, pelantikan beliau itu disifatkan sebagai pengiktirafan dan penghormatan kepada golongan wanita untuk menggalas jawatan tertinggi dalam pelbagai bidang di negara ini.

Beliau berkata, ia juga membuktikan bahawa pelantikan Dr Zaleha itu adalah atas kelayakannya yang berwibawa, berkebolehan dan berpengalaman luas dalam bidang perundangan.

“Bidang tugasnya merangkumi tuntutan harta dan penceraian yang kebanyakan wanita serta isteri berdepan dengan kes ini. Dengan pelantikan hakim wanita, ia secara tidak langsung lebih memahami isu dan banyak kes boleh diselesaikan.

“Ia juga dapat mengikis persepsi negatif yang dilemparkan golongan liberal dan feminis terhadap Mahkamah Syariah yang didakwa tidak prihatin dengan golongan teraniaya, khususnya wanita,” katanya kepada Ismaweb, hari ini.

Menurutnya, tiada kesalahan untuk perundangan negara menerima wanita sebagai Hakim Syarie memandangkan pentadbiran Malaysia bukan berasaskan hukum hudud dan qisas.

“Malah, Majlis Fatwa Kebangsaan mengharuskan pelantikan hakim wanita dalam perundangan syariah,” katanya.

Dr Zaleha hari ini menerima tauliah pelantikan itu daripada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah, Cheandering di Kuala Terengganu, hari ini.

Anak kelahiran Pahang itu berpengalaman luas dalam bidang undang-undang dan memegang Ijazah Doktor Falsafah, Undang-undang Keluarga Perbandingan (Sivil dan Syariah) dari Universiti London.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *