Malaysia pertimbang tutup kedutaan di Korea Utara

KOTA SAMARAHAN, 22 Muharram 1439H, Khamis – Malaysia sedang mempertimbangkan untuk menutup kedutaan di Korea Utara, dan segala urusan akan dibuat menerusi Beijing, kata Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.

Bercakap kepada pemberita selepas dialog ‘Isu dan Cabaran dalam Urusan Hubungan Luar Malaysia’ di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), di sini hari ini, beliau berkata, kerajaan akan memindahkan urusan berkaitan Korea Utara ke kedutaan di Beijing.

Langkah ini, katanya, adalah sebagai usaha yang diambil berikutan keputusan kerajaan untuk tidak menempatkan duta di negara itu.

“Kementerian akan menyerahkan kertas cadangan kepada kedutaan Malaysia di Beijing untuk diakreditasi kepada Korea Utara.

“Oleh itu, apa-apa perkara yang berkaitan dengan hubungan Malaysia dan Korea Utara akan dikendalikan oleh kedutaan kita di Beijing,” katanya.

Pada dialog itu, Anifah berkata, kementerian sedang dalam proses menyediakan kertas Kabinet berhubung perkara itu.

Pada 28 September lalu, Kementerian Luar mengeluarkan kenyataan melarang rakyat Malaysia daripada berkunjung ke Korea Utara, sehingga dimaklumkan kelak.

Bagaimanapun, larangan itu dibuat berikutan ketegangan yang semakin memuncak di Semenanjung Korea berhubung ujian peluru berpandu Korea Utara.

Hubungan Kuala Lumpur-Pyongyang menjadi dingin berikutan pembunuhan Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) pada 13 Februari lalu ketika menunggu untuk menaiki pesawat ke Macau apabila secara tiba-tiba seorang wanita menekup mukanya dengan kain dipercayai mengandungi racun.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *