Liberalisme benih fahaman tidak beragama: Khutbah Jumaat

BANGI, 23 Muharram 1439H, Jumaat – Umat Islam hari ini diingatkan mengenai bahaya liberalisme dan menjauhkan diri daripadanya kerana ia boleh memudaratkan akidah selain menjadi benih kepada fahaman tidak beragama.

Sehubungan itu, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menggesa umat Islam berpegang teguh dengan ajaran Islam dan menjadikan al-Quran serta Sunnah Rasulullah SAW sebagai rujukan, bukan membuat tafsiran secara logik akal semata-mata.

Jais menerusi teks khutbah Jumaat berkata, liberalisme adalah satu fahaman bebas yang tidak terikat dengan syariat Islam selain menjauhkan seseorang muslim daripada agamanya.

“Sedangkan Islam adalah agama yang mengatur akidah, syariat dan akhlak bagi setiap Muslim sesuai dengan panduan al-Quran dan al-Sunnah kerana Islam bermaksud ketaatan, kepatuhan dan penyerahan kepada Allah SWT dan rasul-Nya. Islam merujuk kepada cara hidup yang telah diatur oleh Allah SWT melalui syariat yang dibawa oleh rasul-Nya SAW,” kata Jais.

Teks khutbah itu juga menerangkan kepada umat Islam mengenai ciri-ciri fahaman liberalisme, pluralisme dan sekularisme.

Jais berkata, golongan liberalisme dan pluralisme menolak wujudnya kebenaran Islam dan menyatakan semua agama adalah sama dan menganjurkan kepada kebaikan.

“Mereka mendakwa bahawa jika orang bukan Islam diberikan kebebasan untuk menukar agama, maka orang Islam pun hendaklah diberikan kebebasan untuk murtad. Fahaman sebegini amat bahaya dan memudaratkan kerana tegasnya Islam adalah satu-satunya agama yang diredai Allah SWT.

“Bahkan Allah SWT menegaskan tidak akan sama sekali menerima agama selain Islam dan siapa yang memilih selainnya maka mereka adalah di kalangan orang-orang yang rugi di akhirat kelak,” kata Jais yang memetik firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 85 yang bermaksud:

Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan dia pada hari akhirat kelak adalah orang-orang yang rugi”.

Jais juga menjelaskan bahaya fahaman sekularisme terhadap akidah apabila seseorang berkeyakinan agama adalah urusan peribadi dan hanya dihadkan dalam ruang lingkup upacara agama semata-mata.

Golongan sekularisme, kata Jais, mendakwa agama bertentangan dengan sains, atau wahyu bertentangan dengan akal, kerana itu, mereka menganggap manusia tidak perlu tunduk kepada aturan agama.

“Mereka mengatakan bahawa riba itu halal dan menyumbang kepada ekonomi negara. Begitu juga mereka mengatakan bahawa arak itu hak individu untuk meminumnya dan khalwat pula adalah hak peribadi yang tidak boleh diganggu. Fahaman sebegini sangat memudaratkan dan merosakkan akidah seorang Muslim kerana Islam adalah cara hidup yang sempurna,” kata Jais.

Teks khutbah juga menyatakan bahaya liberalisme kerana berpaksikan logik akal semata-mata tanpa sebarang panduan daripada al-Quran dan al-Sunnah.

“Kerana kemampuan akal sangat terbatas berbanding wahyu Allah SWT. Fahaman tersebut boleh membawa kepada kekufuran. Apabila bertembung al-Quran dengan logik akal, maka sebagai orang Islam kita perlu mendahulukan al-Quran dan al-Sunnah walaupun ianya bercanggah dengan nafsu dan akal.

“Sesungguhnya al-Quran dan al-Sunnah mengajarkan umat Islam kaedah-kaedah memperkukuhkan akidah. Antara panduannya ialah berpegang teguh dengan wahyu Allah membantu setiap Muslim untuk berada pada jalan yang lurus dan akidah yang sahih,” kata Jais.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *