Lapan lagi pelarian Rohingya lemas bot karam

Gambar fail.

RAKHINE, 26 Muharram 1439H, Isnin – Lapan pelarian mati lemas manakala lebih 12 lagi dilaporkan hilang selepas sebuah bot yang padat dengan pelarian Rohingya karam ketika sedang menuju ke Bangladesh.

Mereka adalah mangsa terbaru yang lemas selepas 500,000 pelarian Rohingya cuba melarikan diri daripada keganasan tentera Myanmar sejak beberapa minggu lepas.

Bot itu dianggarkan membawa lebih 50 pelarian ketika kejadian itu berlaku di Sungai Naf yang merupakan sempadan antara Bangladesh-Myanmar, lapor Komender Kawasan Leftenan Kolonel S.M. Ariful Islam, Pengawal Sempadan Bagladesh (BGB) kepada AFP.

Sejak 6 minggu lalu, hampir 200 orang pelarian Rohingya dilaporkan lemas apabila cuba melintas sempadan ke Bangladesh dengan hanya menaiki bot nelayan kayu yang sesak dengan pelarian yang ramai.

Mereka melarikan diri daripada tekanan keganasan di Rakhine.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuduh tentera Myanmar terlibat dalam kempen pembersihan etnik terhadap Muslim minoriti etnik Rohingya.

Ariful Islam berkata, lapan mayat telah ditemui di tebing sungai, manakala 21 lagi mangsa berenang ke tempat selamat.

“Lapan orang terbunuh. Majoriti adalah kanak-kanak,” katanya.

Pengawal pantai dan pengawal sempadan sedang melakukan misi mencari dan menyelamat di Sungai Naf.

Lebih setengah juta pelarian Rohingya telah tiba di Bangladesh sejak 7 minggu lalu untuk melarikan diri daripada keganasan di Myanmar.

Muslim Minoriti Rohingya ini yang disifatkan ‘tidak bernegara’ telah menghadapi penindasan oleh penduduk Buddha Myanmar sejak berkurun lalu.

Perpindahan besar-besaran yang terbaru ini bermula pada akhir Ogos lalu selepas militan Rohingya dituduh menyerang pos kawalan polis di Myanmar.

Seorang lagi Pengawal Sempadan Bangladesh memberitahu AFP bahawa bot itu karam itu selepas berdepan arus deras yang kedudukannya hanya 200 meter dari Bangladesh.

Pegawai tempatan, Fazlul Haq berkata, bot itu kepunyaan penduduk Bangladesh yang mengaut keuntungan yang banyak dengan membawa Rohingya ke negara itu.

Dia berkata, bot nelayan yang kecil itu sering terdedah dengan kemalangan apabila menghampiri pantai kerana sering dipukul ombak kuat dan besar.

Pelarian sering terpaksa membayar tambang yang mahal untuk perjalanan itu.

Kejadian terbaru ini, berlaku selepas seminggu sebuah lagi bot yang sarat dengan Pelarian Rohingya terbalik di kawasan yang sama membunuh 34 orang. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *