Kata Pedang: Pelik kalau nak buat umrah pun kena GST

(Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net. Pandangan Kata Pedang tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana)

INDUSTRI umrah dan ziarah di Malaysia memang menguntungkan, malah dilaporkan bahawa transaksinya sahaja mencecah RM1.1 bilion setahun.

Maka, menjadi kegilaan kepada syarikat bukan 100 peratus milik warganegara Malaysia dan beragama Islam, untuk menceburinya, tetapi terhalang dengan syarat yang ditetapkan.

Tetapi, tetap masih ada cara lain untuk sama-sama menikmati hasil daripada industri umrah dan ziarah ini. Banyak caranya, kata seorang rakan yang terbabit dengan pengurusan umrah kepada Pedang.

Bukan setakat syarikat pengendali atau penganjur pakej umrah sahaja berasa pelik, Pedang sendiri pun rasa lain macam sahaja, apabila umat Islam yang hendak mengerjakan umrah dikenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST). “Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah….” (Al-Baqarah ayat 196). Perintah Allah bagi siapa yang mampu.

Dah teruk sangatkah negara tak ada wang hingga urusan ibadah umat Islam yang menyahut perintah Allah Taala pun hendak dikenakan GST?

Sudahlah membeli barang keperluan untuk umrah atau haji, seperti kain ihram dan lain-lain, pun sudah berkali-kali dikenakan GST, ini daftar dan pergi buat umrah pun dah kena GST.

Atau, seperti kata seorang rakan Pedang – “jalan mudah nak dapat duit”, lalu meminta restu Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (Motac), memperkenalkan satu sistem yang wajib disertai oleh agensi pengendali umrah dan ziarah yang dimiliki umat Islam.

Lalu, sebuah syarikat memperkenalkan Integrated Manasik Monitoring System (IMAMS) atau Sistem Pemantauan Pengendalian Pakej Umrah Malaysia, setelah kerajaan menerusi Motac menguatkuasakan Lesen Khas Umrah (LKU) pada 1 Oktober lalu.

Khabarnya, IMAMS mendapat restu Motac. Kerjasama diberikan Motac kepada syarikat pengendali IMAMS ini amat baik, sehinggakan pegawainya dihantar untuk menjelaskan aplikasi ini kepada pengendali umrah.

Kelihatannya indah, tetapi tiada beza dengan LKU yang bertujuan memantau, mengelak dan membendung kes penipuan umrah yang banyak dilaporkan sebelum ini.

Tahun ini sahaja dalam tempoh tujuh bulan, Motac mendedahkan sebanyak 31 kes penipuan pakej umrah dan haji membabitkan kerugian RM582,075. Daripada 2012 hingga Julai 2017, 292 aduan penipuan urusan itu dicatatkan oleh Motac.

Dan, Pedang sokong sangat pelaksanaan LKU itu. Iyalah, sejak beberapa tahun kita kerap mendengar umat Islam yang hendak mengerjakan umrah ditipu. Ada yang tersangkut di hotel, ada yang tersadai di lapangan terbang. Penganjur hilang entah ke mana.

Orang nak beribadat pun ditipu. Tapi memang itu resam penipu. Dia akan ambil kesempatan terhadap kelemahan umat Islam. Jadi, dengan ada LKU ini, kerajaan dapat pastikan hanya syarikat yang telah memiliki lesen itu sahaja boleh mengendalikan pakej umrah. Nama-nama syarikat juga diumumkan kepada orang ramai dan boleh disemak dalam laman web Motac.

Tetapi kenapa diwujudkan pula IMAMS yang antara lain bertujuan, yang sama dengan LKU, iaitu memantau, mengelak dan membendung kes penipuan umrah. Dan, bukan percuma pula perkhidmatan serta aplikasi yang ditawarkan. RM90.10 dikenakan kepada setiap jemaah.

Memang sikit bagi seorang jemaah. Tapi jika sehingga 290,000 jemaah setahun seperti anggaran Motac bagi tahun ini atau tahun depan, berapa jumlah bayaran itu. RM26.129 juta… masuk ke akaun syarikat itu… sikit?

Untuk apa? Sistem dan pengurusan RM45, insurans RM40, dan GST (6%) RM5.10. Senang kira, daripada RM26.129 juta itu, RM1.479 juta adalah GST; insurans (RM11.6 juta) dan yang masuk kepada syarikat itu RM13.050 juta.

Syarikat pengendali IMAMS ini pula ‘memaksa’ agensi umrah bayar dulu RM90.10 itu dengan cara prabayar. Maksudnya, masukkan RM10,000 dalam akaun mereka dan akan ditolak kemudian bila agensi mula hantar jemaah ke Tanah Suci.

Kalau 400 agensi umrah masukkan RM10,000, dah senang-senang ada RM4 juta dalam akaun syarikat itu. Banyak overdraf boleh dibuat, kata rakan Pedang.

Insurans pula kena ambil melalui syarikat itu, sedangkan sekarang ini agensi umrah boleh beli daripada mana-mana pihak. Malah, ada agensi umrah dan ziarah yang besar-besar menjadi ejen kepada syarikat insurans.

Mudahnya buat duit, sedangkan LKU dah ada untuk pantau penipuan. Lagipun, pengendali pakej umrah semua setuju dengan LKU. Bagus kata mereka. Tiba-tiba muncul pula satu syarikat yang memperkenalkan IMAMS. Semua agensi umrah ‘dipaksa’, wajib berdaftar dengan syarikat ini, kena bayar kepada syarikat ini.

Kalau tak daftar dengan mereka, kemungkinan besar LKU tidak diberi atau LKU dibatalkan. Mereka ada hubungan rapat dengan Motac. Tak tahulah apa Motac dapat, sedangkan bagi Pedang aplikasi ini ‘is nothing’.

Pedang lihat amalan yang dilakukan oleh agensi pengendali umrah sekarang tiada masalah. Ditambah lagi kebaikan LKU. Pedang dah banyak kali ke Tanah Suci dengan agensi pengendali umrah yang berlainan. Malah, Pedang pun biasa diberi tanggungjawab mengetuai jemaah umrah. Sistem dan cara pengendalian tiada masalah.

Memang tersangat-sangat pelik Pedang rasa. Malah, perkara ini perlu disiasat. Pedang dah siasat sikit-sikit. Kalau Pedang bagitau di sini orang kata Pedang rasis, ekstrem pula nanti. Nanti, panas pula punggung orang tertentu. Nanti, SPRM buka kertas siasatan pula. 

Sebab itu Pedang rasa, LKU untuk jaga supaya tiada penipuan dalam urusan umrah, tapi IMAMS ini adalah satu kesempatan yang diambil apabila melihat transaksi umrah bernilai RM1.1 bilion.

Cuba cari siapa di belakang syarikat yang memperkenalkan IMAMS itu? Siapa ahli lembaga pengarahnya? Melayu? Cina? Islam? kafir? wakil rakyat? bekas wakil rakyat? menteri? timbalan menteri?

Atau pegawai Motac pun turut mendapat habuan? Syarikat apa pula yang menyediakan aplikasi IMAMS ini? Adakah orang yang sama turut menawarkan satu sistem mengimbas pasport jemaah tahun lalu? Semuanya ada kaitan.

Kata Pedang: Carilah.. atau syarikat itu sendiri mahu memberitahu kepada masyarakat. Cuma jangan salah sebab Pedang ada maklumat dan jawapannya. Dakwat kat SSM belum kering, bisnes sudah juta-juta.

(EKSKLUSIF) Sistem IMAMS: GST untuk tunai perintah Allah

(EKSKLUSIF) Sistem IMAMS: RM90.10 mesti dibayar secara prepaid, membebankan jemaah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *