Kata Pedang: Apa pendirian ‘rumah sewa Islam sahaja, homestay muslim sahaja’?

(Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net. Pandangan Kata Pedang tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana)

Tidakkah ada pihak yang teringin mengetengahkan isu ini sehingga boleh menyebabkan usahawan homestay atau pemilik rumah beragama Islam pula menutup perniagaan mereka demi mempertahankan kebersihan dan kesucian

PEDANG bukan nak memanjangkan lagi isu, bukan hendak mengungkit-ungkit, bukan untuk menyalahkan mana-mana pihak. Bukan juga untuk menunjuk pandai, namun sekadar menyambung apa yang diperkatakan umat Islam negara ini.

Memang isu ini sudah sampai ke peringkat atas, bukan paling atas – yang berada pada kedudukan paling atas ialah Allah Taala yang mengetahui segala-galanya apa yang ada di langit dan di bumi.

Bukankah engkau telah mengetahui bahawasanya Allah mengetahui segala yang ada di langit dan di bumi? Sesungguhnya yang demikian itu ada tertulis di dalam Kitab (Lauh Mahfuz); sesungguhnya hal itu amatlah mudah bagi Allah.” (Surah Al-Hajj ayat 70)

Memang benar Islam itu mudah. Itulah yang sering dijadikan alasan sesetengah pihak apabila bangkit sesuatu isu berkaitan Islam, termasuk hal-hal hukum. Yang liberal, yang menggunakan akal logik pun sering berkata demikian.

“Islam itu mudah”. Terhenti di situ sahaja tanpa memberi ulasan lanjut. Untuk menghentikan sebarang isu berbangkit, lalu dijadikan ‘Islam itu mudah’ sebagai penutup bicara. Apa yang mudahnya? Berilah penjelasan lanjut supaya orang yang mendengarnya boleh faham.

Demikianlah banyak isu-isu yang berbangkit sejak akhir-akhir ini menimbulkan kecelaruan di kalangan umat Islam apabila ‘Islam itu mudah’ menutup pintu perbincangan, hingga menimbulkan banyak persoalan.

Macam Pedang kata awal-awal tadi, bukan Pedang hendak menentang atau mempertikaikan atau mempersoalkan apa yang disuarakan pihak berautoriti, termasuk Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Perlis negeri kelahiran Pedang); dan Mufti Wilayah, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Mereka lebih berilmu daripada Pedang. Namun, suara rakyat, Pedang tegaskan sekali lagi – Suara Rakyat – yang menyanggah ulasan mereka berkaitan dobi mesra muslim

Dalam mengulas isu itu, Dr Mohd Asri membidas tindakan kedai dobi melarang orang bukan Islam daripada mencuci pakaian mereka di situ, sambil berkata ia adalah sebahagian daripada pandangan sempit yang tiada kaitan dengan Islam.

Manakala, mengikut kenyataan Dr Zulkifli pula, beliau berkata, adalah tidak wajar bagi kewujudan perkhidmatan dobi yang hanya dikhaskan kepada pelanggan beragama Islam sahaja dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia.

Terima atau tidak kenyataan mereka itu hak Pedang. Cuma jika mereka boleh menjawab sedemikian, maka Pedang sampaikan persoalan daripada rakyat, yang turut diketengahkan oleh seseorang yang pernah menduduki kerusi paling tinggi dalam badan kehakiman negara – bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad.

Soalannya, sempitkah pandangan atau tidak wajarkah:

1. Jika ada umat Islam yang hendak menyewakan rumah atau bilik meletakkan mensyaratkan ‘Orang Islam sahaja’ atau ‘Muslim sahaja’?; dan

2. Jika ada umat Islam yang menyediakan perkhidmatan ‘homestay’ mensyaratkan hanya orang Islam sahaja boleh menyewa homestay mereka?

Jika berdasarkan isu kedai dobi muslim itu, sudah tentu rumah sewa dan homestay juga tidak boleh dikhaskan kepada orang Islam sahaja. Pengusahanya kena ubah konsep, terbuka kepada sesiapa pun. Mahukah mereka berbuat demikian?

Persoalan ini nampak kecil, tetapi inilah yang berbangkit apabila mereka yang faham mengenai hukum-hakam mengeluarkan kenyataan, tanpa mengambil kira keadaan semasa, hingga umat Islam sendiri berbalah dan keliru, lalu pihak-pihak anti-Islam mengambil kesempatan.

Atau, mereka juga tanpa disedari sudah terikut-ikut dengan agenda halus dan sulit menjadikan negara ini liberal, sekular dan pluralisme?

Isu ini juga yang beberapa hari lalu diketengahkan oleh Tun Abdul Hamid dalam blognya. Antara lain, beliau merujuk kepada kebanyakan orang Islam yang keberatan menyewa rumah kepada orang bukan Islam kerana tidak mahu haiwan serta daging yang haram disentuh dan dimakan umat Islam, dibawa masuk ke dalam rumah mereka.

“Demikian juga, kebanyakan orang Islam keberataan menyewa rumah mereka kepada orang bukan Islam kerana mereka tidak mahu anjing masuk ke dalam rumah mereka atau makanan yang mengandungi daging babi di bawa masuk ke dalam rumah mereka atau mereka tidak mahu daging babi atau makanan yang mengandungi daging babi diletak di dalam peti ais mereka, jika ia disediakan.

“Salahkah jika dalam iklan mereka menyebut “Orang Islam Sahaja”?,” katanya. Tulisan beliau boleh diikuti di ruang Pendapat Ismaweb.net

Sudah tentu pihak atasan, termasuk mufti-mufti yang sebelum ini mengulas isu kedai dobi muslim itu, kini diam sahaja apabila timbul persoalan sebegini. Rumah sewa untuk Islam sahaja, homestay untuk muslim sahaja.

Agama Islam adalah agama yang mudah, tetapi tidak boleh kita bersikap bermudah-mudahan dalam menjalankan syariat. Dalam dilarang bermudah-mudahan, tidak boleh lah kita berghuluw pula.

Tak perlulah dibangkitkan isu umat Islam tinggal di hotel, isu tak boleh guna duit yang telah digunakan oleh orang bukan Islam seperti dikatakan Dr Mohd Asri. Lagipun, kita tak nampak apa yang masuk ke hotel dan tak nampak najis mughallazhah pada duit itu. Kalau nampak, memanglah tak akan pegang duit itu, kecuali berlapik dan disucikan.

Boleh ke tak boleh rumah sewa untuk Islam sahaja? Boleh ke tak boleh homestay untuk muslim sahaja? Pedang senyum bila persoalan ini dibangkitkan oleh Tun Abdul Hamid dan netizen. Rasanya mereka yang hendak menjawab akan pertahankan kenyataan awal yang mereka pernah beri mengenai kes kedai dobi mesra muslim.

Cuma, mungkin mereka akan jawab, pemilik rumah atau pengusaha homestay boleh membuka perniagaan kepada sesiapa sahaja, tapi menambah syarat bahawa tidak boleh membawa masuk anjing, babi atau makanan-makanan haram ke dalam rumah atau homestay itu.

Dan, jika mereka berkata tidak salah pemilik rumah dan pengusaha homestay mensyaratkan ‘untuk orang Islam sahaja’, maka mereka mesti mengubah kenyataan awal mereka berhubung dobi mesra muslim. Jangan diam!

Atau, akan ada pihak yang mengeluarkan kenyataan supaya isu ‘…. untuk Islam sahaja’ atau ‘….untuk muslim sahaja’, hendaklah ditutup.

Kata Pedang: Tidakkah teringin akhbar-akhbar Cina, The Star dan portal-portal liberal lain menjadikan pula ‘rumah sewa Islam sahaja’ dan ‘homestay muslim sahaja’, sebagai isu. Maka bolehlah mereka menutup perniagaan orang Islam?

‘RUMAH UNTUK DISEWA, ORANG ISLAM SAHAJA’ salahkah?, kata bekas Ketua Hakim Negara

One thought on “Kata Pedang: Apa pendirian ‘rumah sewa Islam sahaja, homestay muslim sahaja’?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *