Jais diarah siasat kenyataan Zamihan

SHAH ALAM, 23 Muharram 1439H, Jumaat – Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) diarah menyiasat kenyataan Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja), Zamihan Mat Zain ketika sesi ceramahnya di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong, di sini 7 Oktober lalu.

Pengerusi MAIS, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata, siasatan itu akan dijalankan mengikut Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.

Beliau menegaskan, kenyataan Zamihan pada ceramah itu yang mengkritik institusi diraja tidak menggambarkan pendirian Mais atau Jais.

“Jadi, siasatan terperinci akan dibuat berhubung dakwaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Pengarah Jais, Datuk Haris Kassim mengeluarkan arahan penggantungan sementara ceramah oleh Zamihan di Selangor melalui satu surat semalam kepada masjid-masjid dan surau-surau di negeri itu.

Surat tersebut menyatakan keputusan dibuat susulan Zamihan kini sedang disiasat polis mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *