Hinanya ultra kiasu melihat perpaduan

SEBUT sahaja wujudnya sekolah berasaskan kaum (SJKC) yang menjadi punca kepada masalah perkauman di negara ini, ultra kiasu seperti cacing kepanasan terus menyalak mengatakan kewujudan sekolah vernakular bukan kepada masalah perkauman. Puncanya adalah daripada UMNO dan PAS yang terlalu memperjuangkan Melayu dan Islam.

Kedua-dua ideologi ini yang menjadi pegangan dan diperjuangkan mesti dihapuskan bagi mencapai perpaduan. Tatkala parti-parti mereka berasaskan kaum boleh memperjuangkan bangsa dan agama mereka, hak umat Islam yang bergelar pribumi dikatakan rasis.

Hina sungguh ultra kiasu yang berada di Centre for Policy Initiatives (CPI) ini. Padanya, sekolah vernakular (SJKC) bukanlah punca. Malah, SJKC adalah suatu kekuatan kepada Malaysia. Apakah benar? Peliknya kenapa dia tidak menyentuh parti politik perkauman yang lain seperti MCA, DAP, Gerakan dan MIC, yang jelas mewakili satu kaum.

Meskipun dalam DAP dan Gerakan ada sedikit wajah-wajah Melayu ultra kiasu, semua itu adalah wayang untuk menunjukkan parti mereka berbilang kaum.

Hujah lapok mengatakan SJKC mendapat sambutan orang Melayu dicanang ke seantero dunia bagi membuktikan betapa diversitinya SJKC. Dia tidak mengambil pusing akan ramainya pelajar Melayu di SJKC adalah dalam kalangan berbinkan Abdullah bapa. Dalam maksud, ramai anak-anak Melayu dalam di SJKC adalah dalam kalangan anak yang tidak sah taraf (anak luar nikah). Ibu bapa mereka berasa malu untuk menghantar anak mereka ke Sekolah Kebangsaan kerana takut diejek oleh kawan-kawan.

Ultra kiasu ini turut menuding jari bahawa kewujudan sekolah agama, MRSM dan UiTM, tidak kurangnya menyumbang kepada masalah perkauman. Apakah dia tidak sedar bahawa selama ini terdapat bukan Melayu dalam kalangan orang Cina di MRSM? Dia tidak sedar betapa mulia kerajaan hari ini yang begitu terbuka. Cuma bilangan orang Cina tidaklah ramai, sebab realitinya orang Cina tidak suka menghantar anak mereka ke MRSM kerana takut dimelayukan. Salah siapa? Pernahkah dia buat kajian bukan Melayu di MRSM. Sama juga orang bukan Melayu yang mendapat tanah rancangan FELDA.

Kewujudan sekolah agama dan institusi Melayu Islam yang lain dibenarkan oleh Perlembagaan. Kewujudan badan ini langsung tidak menggugat hak orang bukan Islam. Malahan hak bukan Melayu semakin bertambah. Pengumuman demi pengumuman telah dibuat oleh Perdana Menteri apabila merasmikan Perhimpunan Agung MCA, MIC dan Gerakan. Bagaimana dengan lambakan NGO Cina yang ada lebih kurang 9,000 buah? Apakah itu bukan penghalang perpaduan.

Namun, salah kita juga kerana terlalu mencanangkan ‘unity in diversity’, perpaduan dalam kepelbagaian. Sedangkan orang lain bercakap soal ‘unity is uniformity’, perpaduan itu adalah persamaan. Apabila banyak persamaan, memang mudahlah untuk bersatu. Namun, terlalu banyak perbezaan, tidak memungkinkan untuk kita bersatu.

Tanyalah pemimpin ultra kiasu, mereka akan jaja ‘unity in diversity’ ini ke seluruh dunia, kerana merekalah yang paling banyak mendapat manfaat daripada situ. Rancangan TV, radio, akhbar, penajaan rancangan, dan pelbagai lagi, majoriti adalah dalam bahasa mereka.

Apa jadi dengan jati diri tempat dan negara. Ibarat mati segan, hidup tak mahu. Antara wujud dengan tidak. Cuba lihat apa sudah jadi dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Apakah benar-benar dilaksanakan? Janganlah bercakap soal perkara yang jelas termaktub dalam Perlembagaan seperti kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa negara.

Pemimpin negara maju seperti Britain berkali-kali mengulangi ‘multiculturalism is death’. Pada mereka persamaan perlu lebih banyak diwujudkan bagi mencapai perpaduan. Kita perlu begitu teruja dengan ‘diversity’ dan ‘multiculturalism’. Kita tahu atau tidak isu pokok ini. Jika tidak tahu lebih baik mengaji? Menguruskan perbezaan bukan sesuatu yang mudah. Ia memerlukan pengorbanan yang sangat tinggi. Siapa yang telah terlebih berkorban?

Sebab itu saya terkejut apabila seorang profesor ulung berkata, faktor kedai mamak, roti canai, nasi lemak dan banyak lagi yang bersifat kosmetik dijaja ke serata tempat sehingga bagi menunjukkan betapa hebatnya perpaduan di negara kita. Apakah sandaran profesor ulung ini? Di manakah keulungannya sehingga diberikan pengiktirafan sedemikian rupa?

Jika benarlah faktor yang disebut itu adalah pemangkin perpaduan, kenapa pemimpin politik negara kita kerap kali mendendangkan isu pemisahan sejak kecil melalui sistem pendidikan. Saya harap profesor ulung tersebut, perlu lebih banyak membaca dan bergaul dengan khalayak untuk melihat realiti yang sebenar. Jika tidak sia-sia sahaja gelaran ulung diberikan. Tidak nampak keulungannya.

Ya, saya tidak nafikan diversiti yang ada, tetapi kita perlu berpegang kepada persamaan yang telah lama wujud iaitu Perlembagaan. Perlembagaan menjunjung beberapa perkara besar yang disebut sebagai unsur-unsur tradisi iaitu Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa negara, hak istimewa orang Melayu (Bumiputera) dan kesultanan Raja-raja Melayu. Inilah juga kontrak social yang berlaku dalam kalangan datuk nenek moyang kita dahulu yang begitu jauh memandang ke hadapan.

Orang Melayu bersedia menerima bukan Melayu dengan syarat bukan Melayu perlu bersedia menerima perkara yang disebut di atas. Tidak pernah berlaku dalam sejarah dunia, orang bukan Melayu diterima dengan begitu mudah menjadi warganegara secara pukal ‘tanpa syarat’ setelah menerima unsur-unsur tradisi di atas. Kenapa masih tidak bersyukur?

Malangnya, apabila perkara tersebut diterima, sejauh dikhadam dan dikhatam? Sejauh kebolehan berbahasa Melayu? Begitu juga menerima dan menghormati hak istimewa orang Melayu? Ini belum lagi isu menerima kesultanan Melayu dan Islam sebagai agama negara.

Ultra kiasu begitu memberahikan anugerah pangkat dan gelaran daripada sultan daripada menghormati sultan. Sebab itu, sukar sangat untuk melihat mereka berbaju kebangsaan ketika menerima anugerah dan pingat. Mereka lebih teruja memakai pakaian Barat, berblazer dan bertali leher.

Pakaian baju Melayu, bertanjak dan berkeris amat jarang dapat dilihat. Berbanding dengan orang Melayu yang memakai pakaian Cina dan kurta ketika Cina dan India berhari raya. Minggu ini orang India akan merayakan Diwali, lihatlah berapa ramai pemimpin Melayu akan memakai kurta.

Ramai yang kurang bersetuju apabila saya mengambil contoh negara Thailand dan Indonesia dalam membincangkan isu perpaduan. Tetapi kejayaan mereka memang tidak dapat dinafikan. Pada saya, negara ini sangat kuat jati dirinya. Begitu juga dengan negara dunia lain. Cuma Thailand dan Indonesia amat dekat dengan kita dari segi jarak dan juga dekat di hati.

Di Thailand dan Indonesia, boleh dikatakan tidak nampak langsung papan tanda dalam pelbagai bahasa. Tulisan dan bahasa luar akan disiamkan atau diindonkan terlebih dahulu. Pendek kata, semuanya, siam-siam-siam dan indon-indon-indon. Begitu juga dengan siaran TV dan produk jenama luar yang masuk. Semuanya akan disiamkan atau diindonesiakan sebelum dipasarkan.

Tidak seperti kita, terlalu lumrah melihat papan tanda atau nama kedai yang langsung kita tidak tahu apa maknanya. Lebih-lebih lagi ditulis dalam bahasa Cina. Orang Melayu hanya ternganga, tidak tahu apa-apa makna.

Lebih bahaya lagi, ultra kiasu ini mempertikaian semua institusi Islam ini dibiayai melalui dana awam atau cukai yang dibayar oleh rakyat berbilang kaum. Padanya, semua ini tidak adil. Peliknya kenapa akta hasutan tidak digunakan? Apakah dia sudah lupa perjanjian yang dibuat oleh datuk nenek moyangnya sebelum Perlembagaan dirangka. Bodoh yang tidak boleh diajar.

Perkara 12 (2) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan bahawa orang Islam layak menggunakan wang dari Federal Consolidated Fund (Dana Persekutuan Yang Disatukan) untuk tujuan-tujuan pembangunan Islam.

Dalam maksud, jika kerajaan tidak membantu penubuhan dan pengukuhan institusi agama Islam, itu tidak adil kepada umat Islam. Sebaliknya, jika kerajaan turut membantu penubuhan institusi agama bukan Islam, itu sudah tersangat adil, maka bersyukurlah. Misalnya, memberikan peruntukan khas membina dan mencantikkan rumah ibadat dan sebagainya berkaitan hal ehwal agama mereka.

Ultra kiasu CPI juga membuat perbandingan, kewujudan sekolah antarabangsa lebih baik daripada kewujudan sekolah agama dan MRSM, kerana ianya terbuka kepada semua kaum. Pernahkah dia membuat penyelidikan mengenai operasi dan silibus sekolah antarabangsa.

Subjek sejarah Malaysia sudah tidak menjadi keutamaan. Sebaliknya mereka lebih mengutamakan sejarah negara luar. Perkara ini dimaklumkan oleh guru mengajar di sekolah antarabangsa. Kita sudah hilang kawalan. Sekolah antarabangsa tidak ada jati diri Malaysia. Saya minta Kementerian Pendidikan buatlah siasatan.

Dalam negara, kita boleh melakukan aktiviti-aktiviti keIslaman dengan menggunakan dana awam, termasuk membina universiti-universiti dan kolej Islam, menubuh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam, mengadakan tilawah al-Quran, Majlis Agama Islam, masjid-masjid, sekolah-sekolah agama Islam, rancangan agama dalam radio dan televisyen milik kerajaan, hinggalah kepada majlis-majlis tahlil dan ceramah agama dalam waktu pejabat, di bangunan pejabat.

Muzakarah ini pun dibuat dengan dana awam. Semua itu dilakukan atas dasar bahawa ‘Islam adalah agama bagi Malaysia’. Agama lain tidak ada keistimewaan ini. Apa yang ingin ditonjolkan datuk nenek moyang yang terdiri daripada berbilang kaum sangat proaktif, berbanding kita hari ini yang sangat perkauman.

Ultra kiasu CPI ini juga mempersoalkan kedudukan sekolah aagama yang terdiri daripada murid beragama Islam sahaja, berbanding SJKC yang ramai juga orang Melayu dan India. Saya ingin ingatkan, ultra kiasu CPI ini berilmu tinggi dengan gelaran yang ada, rupanya tidak.

Pertama, sekolah agama tidak perkauman dan tidak rasis kerana operasinya dibenarkan oleh Perlembagaan, dan telah dipersetujui oleh semua kaum. Malah, kewujudan institusi agama (Melayu) yang lain juga tidak rasis, seperti UiTM, JAKIM, Majlis Agama, jabatan agama dan banyak perkara lain berkaitan Islam.

Kedudukan Islam bukan sahaja hanya terkandung dalam Perkara 3, tetapi ia juga harus dibaca bersekali dengan Perkara 8, 11, 12, 121, 150 dan kedudukan Yang di Pertuan Agong dalam hal ehwal agama Islam. Bukti ini menunjukkan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia mempunyai kedudukan keistimewaan berbanding yang lain.

Melalui kuasa Perlembagaan inilah, Seksyen 36 dan 37 Akta Pelajaran 1961 digubal dan mewajibkan mana-mana sekolah yang menerima bantuan kerajaan supaya memperuntukkan pengajaran agama Islam dengan syarat jumlah pelajar di sekolah itu tidak kurang daripada lima belas orang. Semua perbelanjaan bagi pengajaran itu dibiayai oleh kumpulan wang yang dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan (Mohd Salleh Abas 1985).

Fakta ini menunjukkan Islam, diberikan keistimewaan berbanding agama lain meskipun Perlembagaan turut menjamin hak kebebasan beragama. Dana awam boleh digunakan untuk pembangunan syiar Islam. Semua fakta ini telah saya tulis sebelum ini. Saya terpaksa mengulangi.

Bukan Islam di Malaysia amat bernasib baik, kerana kerajaan menyediakan peruntukan untuk pembangunan SJKC/T dan juga rumah ibadat, walaupun tidak disebut dalam Perlembagaan. Inilah toleransi dan keadilan yang tidak ada tolok bandingnya.

Perlu diingatkan, lebih dari 15 buah negara di dunia menjunjung agama dalam Perlembagaan Negara masing-masing, mengikut siapakah yang menjadi majoriti (Kristian, Islam atau Buddha).

Antara negara Kristian adalah Ireland (Perkara 6), Norway (Perkara 1), Denmark (Perkara 3), Sepanyol (Perkara 6), Argentina (Perkara 2), Bolivia (Perkara 3), Panama (Perkara 36), dan Paraguay (Perkara 3). Manakala, negara Islam ialah Afghanistan (Perkara 1), Iran (Perkara 1), Iraq (Perkara 13), Jordan (Perkara 2) dan Syria (Perkara 3) dan negara Buddha ialah Thailand (Perkara 7).

Semua negara ini memberikan keistimewaan kepada agama mereka. Jadi, apa masalahnya? Kenapa negara kita yang dia telah tinggal bergenerasi yang dipertikaikan. Ultra kiasu CPI sepatut didakwa mengikut Akta Hasutan.

Kedua, semua pelajar sekolah agama boleh menulis dan berkomunikasi dalam Bahasa Melayu (BM) dengan baik. Majoriti mereka lulus BM dalam peperiksaan.

Cuba ultra kiasu kaji berapa ramai pelajar SJKC yang gagal dalam sabjek BM. Mereka juga tidak boleh berkomunikasi dalam BM, sehingga kelas peralihan (remove class) terpaksa diwujudkan bagi membantu memperbaiki BM mereka. Mana ada dalam dunia ini satu sistem yang menyediakan kelas khas untuk mereka yang buta bahasa kebangsaan, kecuali Malaysia? Hargai usaha kerajaan ini.

Ketiga, dahulu sekolah agama dan sehingga kini sekolah tahfiz dibangunkan oleh rakyat atau umat Islam, termasuk dana bantuannya. Ia dikenali sebagai Sekolah Agama Rakyat (SAR).

Sekolah agama bantuan penuh kerajaan tidak banyak, berbanding bilangan SJKC berganda-ganda bilangannya yang dibantu sepenuhnya oleh kerajaan hari ini, lebih daripada 1,300 buah dan SJKT lebih 500 buah. Itupun kerajaan terus diugut dan didesak untuk menambah SJKC kerana katanya ia bagus untuk perpaduan sebab ramai Melayu di sana.

Lebih malang lagi, SJKC tidak mahu mengikut arahan kerajaan supaya ditambahkan waktu pengajaran dan pembelajaran (P&P) subjek BM. Sebarang cubaan untuk memandaikan murid-murid SJK dalam BM ditentang kerana takut penguasaan bahasa ibunda terjejas.

Malah, SJKC sanggup meletakkan syarat kepada kerajaan supaya guru-guru Melayu dan India yang mengajar BM dan Bahasa Inggeris, mesti mempunyai latar belakang SJKC dan Sekolah Menengah Cina dan mendapat kredit Bahasa Cina dalam peperiksaan (SPM).

Keempat, saya adalah kalangan anak Cina pada usia belasan tahun yang mengikuti kelas agama dan mengambilnya dalam peperiksaan (SRP dan SPM). Sepanjang P&P yang berlaku, ustaz atau ustazah tidak pernah tanamkan kebencian kepada kaum lain (bukan Islam), kerana Islam tidak membenarkan.

Kelima, sekolah agama menggunakan bahasa pengantar BM, sedangkan SJKC menggunakan bahasa asing (ibunda). Sudah tentu tahap kesayangan murid terhadap bahasa berbeza. Murid SJKC lebih sayang bahasa ibunda daripada bahasa kebangsaan. Saya meminta semua kita pergilah ke SJKC dan dengar mereka menyanyikan lagi Negaraku.

Lihat perlakuan dan sebutan lagu Negaraku. Akan kedengaran, ‘negalaku, lanah tumpahnya lalahku, lakyat hilup, bersatu dan maju, lahmat bahgia, Tuhan kulnia yaa saa, laja kita, selamat bertaataa’. Begitu juga apabila lagu negeri Selangor dinyanyikan, baris yang berbunyi Allah lanjutkan usia Tuanku, kalimah Allah itu akan dimutekan. Mereka telah diajar supaya jangan sebut kalimah Allah itu sebab mereka tidak bertuhankan Allah. Sedangkan ia adalah lagu rasmi negeri.

Pernah berlaku satu insiden, guru sekolah kebangsaan ketika mengedarkan buku teks, secara tidak sengaja terberi buku teks agama kepada murid bukan Islam. Apabila ibu bapa murid tersebut menyedari, mereka telah datang ‘menyerang’ guru buku teks tersebut dan turut dibawa perkara ini ke Pejabat Pendidikan Daerah. Inilah sifat diversiti selalu dicanangkan ultra kiasu.

Keenam, bagi membuktikan kebolehan berbahasa Melayu dalam kalangan pelajar SJKC, apa kata kita anjurkan debat atau syarahan atau hari interaksi antara sekolah agama dan SJKC. Kita lihat, siapa yang akan lebih mudah berinteraksi dan bergaul. Saya amat yakin murid-murid SJKC akan memencilkan diri, kerana mereka ada masalah komunikasi dalam BM.

Sebagai warga yang sayangkan Malaysia dan bangsa saya sendiri iaitu bangsa Cina, saya merayukan kepada bangsa saya, terimalah penambaikan yang dianjurkan oleh pakar-pakar pendidikan, terutama untuk memandaikan murid-murid SJKC supaya dapat menguasai bahasa Melayu. Janganlah menjadi terlalu ultra kiasu. Ia tidak membawa kebaikan untuk masa depan negara.

Ketujuh, mungkin kepada kaum Cina, agama itu tidak penting. Tetapi tidak kepada umat Islam. Sekolah agama bertujuan mendalamkan pengetahuan umat Islam terhadap Islam. Mudah-mudahan dengan ajaran tersebut, mereka akan menjadi semakin baik dan bertoleransi.

Sejarah membuktikan, penerimaan orang Melayu terhadap bukan Melayu yang datang berhijrah, sangat tinggi, disebabkan oleh pengajaran dan kefahaman mereka terhadap Islam. Sebab itu mereka dilayan dengan baik kerana tuntutan agama. Jika ditakdirkan orang Melayu tidak faham Islam ketika mana penghijrahan itu berlaku, apakah ketika itu ibu bapa dan datuk nenek ultra kiasu akan diterima dan dapat tinggal senang lenang di negara tercinta ini.

Justeru, berpada-padalah bila bercakap. Ingatlah, melalui kefahaman orang Melayu terhadap Islam itulah yang menjadi mereka lebih terbuka dan bertoleransi dan sangat meraikan kepelbagaian. Firman Allah dalam al-Quran:

“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Surah Al-Hujurat ayat 13)

Saya masih teringat dan tidak dapat lupakan kata-kata seorang pelancong dari China ketika memberikan komen mengenai pendidikan Cina di Malaysia. Katanya, “orang Cina di Malaysia sangat bernasib baik dan beruntung kerana sistem pendidikan Cina yang diperolehi di sini lebih Cina daripada Cina di negara dia sendiri iaitu di China. Di negara komunis China, kebebasan dan hak yang diperolehi pendidikan Cina di sana tidak sebebas dan secina seperti yang diperolehi orang Cina di Malaysia”.

Kata-kata ini menjadikan saya tersentak, kenapa segelintir ultra kiasu Cina Malaysia masih tidak bersyukur, malah menjadi semakin ultra kiasu apabila sistem pendidikan diusik sedikit. Mereka sanggup mengugut kerajaan untuk tidak mengundi parti yang memerintah sekiranya tidak memberikan lebih hak dan membantu SJKC sepenuhnya.

Apabila semua permintaan mereka dipenuhi kerajaan, mereka masih tidak mengundi parti pemerintah, malah terang-terang memilih parti ultra kiasu. Menjadi lebih pelik lagi kepada saya, kenapa kita masih buta?

Prof Madya Dr Ridhuan Tee Abdullah
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana, mahupun pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *