Hawaii batal perintah eksekutif terbaharu Trump

HAWAII, 28 Muharram 1439H, Rabu – Hakim Persekutuan Mahkamah Daerah Honolulu di sini, mengetepikan larangan perjalanan terbaharu Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang disifatkannya dengan jelas satu diskriminasi terhadap kewarganegaraan.

Derrick Watson mengeluarkan keputusan itu semalam sekali gus menyekat versi ketiga larangan perjalanan kontroversi Trump, kerana bersifat diskriminasi dan bertentangan dengan undang-undang imigresen AS.

Bulan lalu, AS mengekalkan perintah eksekutif Trump yang melarang warga Syria, Libya, Iran, Yaman, Somalia, Chad dan Korea Utara, daripada memasuki AS. Dalam versi terbaru sekatan itu, Trump turut menyasarkan beberapa pegawai kerajaan Venezuela dan ahli keluarga mereka.

Trump mengeluarkan perintah eksekutif itu sebaik memasuki White House pada Januari dan mengumumkan versi terbaharu larangan itu pada 24 September dan berkuatkuasa hari ini.

“Larangan terbaharu itu sama kesan dengan yang sebelumnya, dan akan memudaratkan kepentingan Amerika Syarikat,” kata Watson.

Hawaii sebelum ini juga menyekat perintah ekeskutif larangan perjalanan Trump yang kedua, pada Mac lalu dan perintah eksekutif pertama yang mengehadkan perjalanan tujuh negara majoriti umat Islam oleh Hakim Persekutuan di Seattle.

Sementara itu, White House dalam satu kenyataan semalam mengkritik keputusan Watson dan menyatakan keyakinan bahawa ada mahkamah lebih tinggi akan mengubah keputusan Watson, sekali gus mendakwa ianya menghalang usaha Trump menjaga keselamatan rakyat AS.

Keputusan Watson semalam dibuat sehari selepas kumpulan hak asasi manusia di AS mendapatkan perintah mahkamah bagi menggantung versi terkini larangan itu, yang disifatkan diskriminasi terhadap orang Islam.

Ketika menghadapi pilihan raya Presiden AS tahun lalu, Trump berkempen untuk menutup pintu kepada kemasukan umat Islam ke AS dengan alasan mencegah serangan pengganas.

Bagaimanapun, Trump tidak menganggap penyerang konsert di Las Vegas yang dilakukan rakyat AS sendiri pada 1 Oktober lalu, sebagai perbuatan pengganas. Dalam serangan itu, Stephen Paddock melepaskan ratusan das tembakan menyebabkan 58 orang terbunuh dan 546 lagi cedera – jumlah kematian terbesar dilakukan seorang penyerang rakyat AS. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *