Hamas, Fatah ikrar teruskan kerajaan perpaduan walaupun diancam Amerika

GAZA, 30 Muharram 1439H, Jumaat – Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) dan Pergerakan Pembebasan Kebangsaan Palestin (Fatah) berikrar untuk meneruskan pelaksanaan kerajaan perpaduan, kenyataan yang membalas tuntutan Amerika Syarikat (AS) supaya Hamas melucutkan senjatanya.

Kedua-dua pihak yang dominan di Palestin menandatangani perjanjian pembentukan kerajaan perpaduan di Kaherah minggu lalu, dalam usaha untuk menghentikan perpecahan di kalangan rakyat Palestin.

Wakil khas Presiden Amerika Syarikat bagi rundingan antarabangsa, Jason Greenblatt, semalam berkata, Hamas mesti melucutkan senjatanya jika mahu memainkan peranan dalam kerajaan perpaduan.

Hamas menolak dan menganggap kenyataan Greenblatt sebagai cubaan memeras ugut dan amalan AS yang memihak kepada kedudukan Israel.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Hamas berkata, kenyataan itu adalah gangguan secara terang-terangan dalam urusan dan hal ehwal Palestin dan berhasrat mensabotaj proses damai kumpulan Palestin.

Manakala, Fatah pula berkata, perjanjian dengan Hamas adalah urusan dalaman Palestin yang akan membantu keamanan.

“Perjanjian yang kami adakan dengan Hamas adalah berkaitan membina sebuah negara Palestin yang mengikut undang-undang antarabangsa,” katanya.

Terdahulu, dalam kenyataan berhubung kedudukan Tel Aviv, Greenblatt berkata, mana-mana kerajaan Palestin yang dibentuk mesti dengan jelas dan tepat memiliki komitmen mengelak kekerasan, mengiktiraf negara Israel, menerima perjanjian sebelum ini, dan melucutkan senjata pengganas. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *