Hamas, Fatah capai kata sepakat bentuk kerajaan perpaduan

GAZA, 22 Muharram 1439H, Khamis – Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) hari ini, mengumumkan mencapai kata sepakat atas dasar ‘perdamaian politik’ dengan Fatah bagi membentuk kerajaan perpaduan di Gaza dan Tebing Barat.

“Pergerakan Hamas dan Parti Fatah telah mencapai persetujuan pada awal pagi hari ini di bawah penajaan pihak Mesir,” kata pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh dalam satu kenyataan tanpa memberikan butiran lanjut.

Persepakatan ini termenterai melalui satu perjanjian yang dibuat oleh Hamas bagi menyerahkan kuasa pentadbiran di Gaza kepada Presiden Mahmoud Abbas mewakili parti Fatah.

Fatah yang disokong Barat hilang kawalan pentadbiran di Semenanjung Gaza kepada Hamas kira-kira 10 tahun lalu, selepas Hamas menang majoriti kerusi pilihan raya Palestin pada 2006 di wilayah itu.

“Kami mengucapkan tahniah kepada penduduk Palestin di atas tercapainya persetujuan di Kaherah ini. Kami akan melakukan apa sahaja untuk menjayakan pembaharuan yang bersejarah bagi penduduk Palestin,” kata jurucakap Hamas, Hazem Qassem.

Delegasi kedua-dua pihak bertelagah itu berada di Kaherah minggu ini untuk berbincang bagi penyerahan kuasa pentadbiran, termasuk kawalan keselamatan di Gaza dan keluar masuk di sempadan.

Di bawah perjanjian itu, kira-kira 3,000 pengawal keselamatan Fatah akan menyertai pasukan polis di Semenanjung Gaza.

Tetapi, Hamas masih lagi memiliki unit bersenjatanya sendiri yang dianggap terkuat dengan kira-kira 25,000 pejuang lengkap bersenjata yang pernah terbabit dalam tiga peperangan dengan Israel sejak 2008. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *