Gerakan Pengundi Sedar (GPS) – Tanda Aras Kematangan Ber ’politik’ ISMA

Pilihanraya umum ke 14 ini dijangka akan menjadi paling menarik berdasarkan situasi parti-parti politik pada hari ini dan iklim politik negara yang tidak menentu. Dalam senario seperti ini, ramai pihak yang tertanya-tanya apakah ISMA sebagai NGO Islam sederhana akan menghantar calon-calonnya untuk bertanding.

Pertama sekali, Fasal 4.10 Perlembagaan ISMA memperuntukkan:

“4.10 Pertubuhan bukan parti politik dan tidak akan terlibat di dalam sebarang kegiatan politik kepartian.”

Jelas dan terang.

Tapi apakah Fasal ini menjadi halangan kepada ISMA untuk sentuh atau mengambil sesuatu tindakan yang ber ”bau” politik?

Pandangan saya: Tidak.

Fasal 4.10 ini langsung tidak menghalang ISMA untuk menghantar calon-calonnya untuk bertanding di dalam pilihanraya umum (terbukti di dalam PRU13 sebelum ini) ataupun menyertai proses pilihanraya di dalam negara.

Skop dan medan penglibatan ISMA sangat luas tapi terfokus. Sebarang urusan, peristiwa, perkembangan (luar atau dalam negara), perancangan, agenda dan perubahan-perubahan yang berlaku, sekiranya melibatkan kepentingan umat Islam dan bangsa Melayu, maka ISMA (sesuai dengan tabi’at organisasinya) akan mengambil berat, terlibat, terkesan dan memberi kesan serta akan memberi respon atau tindakbalas yang bersesuaian, wajar dan munasabah terhadapnya.

Jauh daripada persangkaan sebahagian orang, agenda ISMA melangkaui sempadan politik-politik kepartian dan justeru itu memiliki alat-alat menganalisa yang sudah tentu berbeza dari sudut pandang politik kepartian sedia ada.

Pendekatan, nadi pergerakan ISMA akan berdenyut bersama-sama dengan degupan jantung umat dan bangsa.

Slogan-slogan yang diperkenalkan oleh ISMA seperti Melayu Sepakat Islam Berdaulat (MSIB), Membangun Umat Yang Beragenda dan kempen-kempen yang dilancarkan dari semasa ke semasa merupakan pelengkap kepada agenda perjuangan ISMA yang besar ini. Demikian juga agensi-agensi yang bernaung di bawah ISMA sendiri.

Satu faktor yang amat dititikberatkan oleh ISMA ke atas ahli-ahlinya sejak dari awal atau hari pertama mereka membuat keputusan untuk bergabung atau terlibat dengan ISMA ialah pentingnya aspek pendidikan (Tarbiyah) Islam sebagai asas dan tonggak kepada pemikiran dan pola fikir (mindset) mereka. Fokus kepada dasar-dasar Islam dari sudut Akidah dan Syara’ (berpaksikan manhaj Ahlus Sunnah Wal Jama’ah) telah mempersediakan ahli-ahli ISMA dengan kefahaman yang jelas tentang ancaman-ancaman besar ke atas umat Islam, baik bahaya Syi’ah, Evangelisma, Liberal, Sekular, Atheis, LGBT, Feminisme, Kemurtadan dan sebagainya.

Ciri-ciri pertahanan dan benteng penyelamat ini sudah terbina dari dalam (Built In) sistem tarbiyah ISMA, di setiap peringkat keahlian mahupun kepimpinan dan merupakan sebahagian dari silibus pembentukan jati diri dan peningkatan ahli.

Tidak ada kompromi, kelembutan atau bergadai prinsip terhadap segala bentuk ancaman (khususnya dari sudut Akidah dan ideologi) yang mengancam perkara-perkara asas (fundamental) dalam Islam ataupun mencabar kepertuanan Syara’ bagi umat Islam.

Kefahaman, kemahiran, keyakinan, keterampilan, daya juang dan komitmen ahli-ahli semuanya dirangkum dalam progrem-progrem dalaman (usrah, seminar, forum, konvensyen, kursus-kursus dan modul-modul latihan kepimpinan) dan majlis-majlis peningkatan Iman dan Taqwa yang wajib ke atas semua peringkat anggota atau ahli ISMA.

Justeru sebab itulah ahli-ahli ISMA yang telah melalui proses pembentukan diri, syaksiyah, pemikiran dan peningkatan secara konsisten tidak akan mudah gelabah atau cepat melatah apabila menilai sesuatu atau ketika membuat keputusan atau pembacaan terhadap apa sahaja isu atau peristiwa yang menyentuh kepentingan Islam, umatnya mahupun bangsa Melayu.

Dalam konteks ini jugalah mengapa ramai orang termasuk ahli-ahli yang baru mengenali ISMA atau yang baru hendak berjinak dengan ISMA akan keliru atau sukar memahami mengapa ISMA mengambil sesuatu pendekatan, sikap atau pendirian yang kelihatan bercanggah dengan naratif umum atau sifir lazim terhadap sesuatu isu atau perkembangan dalam tanahair.

Satu contoh mudah ialah yang melibatkan percaturan atau pembacaan politik tanahair.

ISMA pernah menghantar beberapa ahlinya sebagai calon-calon untuk bertanding di dalam pilihanraya umum ke 13 atas tiket parti Berjasa, dengan membawa slogan Undi Calon Muslim Berwibawa. Sepertimana slogan MSIB pernah dikritik bertubi-tubi dari pelbagai sudut (malah ada yang menggelarnya sebagai slogan SAMPAH), slogan Undi Calon Muslim Berwibawa juga terkenal dengan tohmahan bahawa calon-calon Berjasa ini hanya akan memecahbelahkan peluang calon-calon pembangkang (Pakatan Harapan) untuk menang.

Sedangkan semua orang dan pengundi tahu bahawa calon-calon ISMA ini hanya bertanding di kawasan-kawasan di mana majoriti pengundi terdiri dari orang-orang Melayu, tetapi terpaksa membuat keputusan sama ada untuk memilih calon-calon bukan-Muslim dari MCA, DAP, MIC atau PKR. Dan kawasan-kawasan tersebut tidak pernah diwakili oleh mana-mana pemimpin Melayu/Muslim (baik dari UMNO mahupun PAS).

ISMA tidak masuk bertanding dalam PRU13 kerana Perlembagaannya tidak membenarkan sebarang penglibatan politik kepartian. Tapi ISMA hantar beberapa ahlinya bertanding di atas tiket parti Berjasa dengan seruan supaya masyarakat memberi undi kepada Calon Muslim Berwibawa.

Benar, deposit semua ahli-ahli ISMA ini hilang. Tapi ahli-ahlinya tidak merasakan kehilangan wang ringgit atau kebaziran tenaga atau amal yang sia-sia.

Malah ia merupakan satu pendedahan dan pengalaman yang sangat berharga dan bermakna, di mana seruan ISMA telah berjaya diterjemahkan dari kerangka teori kepada medan amal.

Jumlah undi hampir 40 ribu kepada calon-calon ISMA sebaliknya merupakan satu pencapaian dan kejayaan luarbiasa bagi “novice” politik seperti calon-calon ISMA, yang berani menghadapi “the big guns” dengan penuh keyakinan.

Pihak yang tidak terdedah kepada pembacaan politik yang matang hanya mampu menilai dari sifir untung rugi, ringgit dan sen serta gambaran lahiriah semata-mata.

ISMA tidak berapologetik atau kecewa dengan “kekalahan” ini.

Terkini, dan di luar jangkaan banyak pihak, ISMA kembali beraksi (“berpolitik”) dalam gelanggang pilihanraya dengan menawarkan satu pakej/produk yang dikenali sebagai Gerakan Pengundi Sedar (GPS), yang dilancarkan secara rasmi pada 6hb Oktober 2107.

Ucapan Presiden ISMA, Al Fadhil Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman ketika merasmikan PGS boleh diikuti pada capaian berikut:

https://www.youtube.com/watch?v=qzluHrr-blE

Facebook rasmi GPS boleh diikuti di sini: https://www.facebook.com/pengundisedar/

Pengenalan tentang GPS boleh diikuti di sini:https://www.facebook.com/pengundisedar/posts/1717702315205325

Rujukan tambahan untuk memahami slogan Melayu Sepakat Islam Berdaulat boleh diikuti pada capaian-capaian berikut:

http://drhazimazhar.blogspot.my/…/30-soal-jawab-melayu-sepa…

https://www.youtube.com/watch?v=jZ6j51HX7Go

https://www.youtube.com/watch?v=8eoItzzDX28

https://www.youtube.com/watch?v=Waia0aRShYY

https://www.youtube.com/watch?v=Fzj-_ETLZCY

https://www.youtube.com/watch?v=xnsUBw6imPA

Saya tidak berhasrat untuk mengulang kembali apa yang telah diterangkan oleh Presiden ISMA (yang cukup jelas) tentang GPS, tapi ingin memberi ulasan/pemerhatian saya sendiri seperti berikut:

GPS adalah satu tanda aras (benchmark) kematangan “berpolitik” oleh ISMA.

Sebelum ini ISMA melahirkan keseriusan dan kesungguhannya dengan memberi satu alternatif kepada pengundi supaya memilih calon-calon Parlimen/DUN berwibawa untuk menterjemahkan hasrat dan mandat menjaga/mempertahankan kepentingan Islam di Parlimen (di mana tindakan ini disambut dengan penuh bersemangat sekali oleh seluruh ahli ISMA).

GPS pula meneruskan agenda ini dan meluaskan lagi seruan supaya menghantar calon-calon Muslim berwibawa dengan melibatkan suara, maklumbalas dan hasrat para pengundi/umat Islam dengan lebih praktikal, inklusif dan realistik.

Bagi saya, ini merupakan salah satu detik bersejarah bagi Malaysia, di mana rakyat/pengundi berpeluang untuk menilai sendiri prestasi, kelayakan, keperibadian dan agenda yang dibawa oleh setiap calon pilihanraya.

Saya juga percaya bahawa ISMA telah mendahului pihak-pihak lain dari aspek ini.

Seumpama satu buku rekod pencapaian murid-murid sekolah di dalam peperiksaan, GPS menjadikan para pengundi sebagai “ibubapa” yang akan menilai prestasi “anak-anak” mereka sebelum “ibubapa” ini membuat keputusan terbaik untuk masadepan keluarga mereka. Masyarakat/pengundi kini akan mampu mebuat keputusan dengan lebih objektif, cermat, sedar dan bertanggungjawab.

Dengan kuasa media maya dan kesedaran yang tinggi serta pelbagai sumber maklumat sedia ada, parti-parti politik dan calon-calon mereka kini akan menjadi tumpuan setiap pengundi di kawasan masing-masing. Rakyat/pengundi sendiri akan menjadi pemantau calon pilihanraya, penilai prestasi dan pendirian calon-calon terhadap isu-isu yang melibatkan kepentingan agama, bangsa dan negara.

Calon-calon yang berhasrat untuk dipilih ke Parlimen atau DUN perlu menunjukkan contoh-contoh kewibawaan, lebih-lebih lagi kalau mereka adalah calon Melayu/Muslim. Tiada lagi harapan untuk berlaku khianat atau mengecewakan para pengundi yang menghantar mereka ke Parlimen atau DUN.

Rekod laporan prestasi dan “Balance Score Card” akan dipegang oleh rakyat/pengundi, bukan oleh badan-badan pemantau, para propagandis parti dan calon atau media lain.

Para pengundi yang berinformasi, sedar, faham, dan berobjektif lah yang akan memastikan calon-calon yang benar-benar berwibawa, layak, ikhlas, jujur, amanah dan bertanggungjawab sahaja yang akan dihantar ke Parlimen atau DUN.

Pilihan ini akan menjadi pilihan hati sanubari rakyat.

Poin terakhir yang saya rasa perlu tulis juga ialah: Sebagai sebuah NGO Islam sederhana yang tidak akan terlibat dalam sebarang kegiatan politik kepartian, ISMA tidak akan menjadi “pelampung penyelamat” (life boat) kepada mana-mana pihak atau parti politik.

Ramai orang, yang sekadar menjadi ahli di pinggiran atau sekadar pemerhati biasa akan mengharapkan atau menjangkakan bahawa ISMA perlu menyatakan sikap atau pendirian terhadap sesuatu isu besar, termasuk pendirian politiknya.

Ramai yang tidak faham bahawa terma-terma rujukan ISMA bukanlah melalui kerangka politik kepartian, akan tetapi ISMA hanya meletakkan nilai Syara’ dan keimanan sebagai neraca pertimbangan yang tetap. Ini juga sebahagian daripada pakej yang sudah terpateri (built in package) dalam silibus latihan dan pendidikan ahli-ahlinya.

Orang-orang yang tidak terlibat secara serius, mendalam, komited dan konsisten di dalam setiap progrem, acara, kuliah, latihan, seminar … pendekata seluruh silibus ISMA hanya akan mampu menilai ISMA pada segi luaran (surface) sahaja.

Satu perumpamaan yang saya boleh berikan ialah ISMA adalah seumpama sebuah bahtera di samudera yang luas. Bahtera ini sudahpun menentukan destinasi dan perbekalan yang secukupnya untuk menempuh samudera ini. Sang nakhoda dan anak-anak kapal saling memahami tugas dan tanggungjawab. Kompas, bering, altitud, magnitud dan setiap pembacaan sudah diambil kira, termasuk cuaca, arah angin dan fenomena-fenomena yang biasa berlaku di dalam sesebuah pelayaran.

Bagaimanapun, sebagai satu lumrah setiap pelayaran, cuaca atau iklim masih tetap boleh berubah atau berlaku di luar kawalan. Meskipun matlamat, objektif, misi, sasaran dan destinasi telah ditentukan, sesuatu perubahan di luar kawalan ini kadangkala akan menolak bahtera ISMA sama ada ke kiri atau ke kanan, yang masing-masing sudut sudah ada bahtera-bahtera lain yang lebih besar di samudera luas ini.

Oleh kerana bahtera yang bernama ISMA ini sangat istimewa, masing-masing bahtera besar di kiri kanan akan berbangga sekiranya ISMA belayar bersama mereka, sebagai satu bonus tambahan kepada bahtera besar masing-masing ataupun satu aset tambahan yang boleh dimanfaatkan untuk mencapai manfaat atau objektif tersendiri ataupun juga sebagai satu “kapal tambahan” untuk “mengalahkan” pihak musuh.

Namun, bahtera ISMA tetap teguh dan tegas untuk tidak menjadi “pelampung penyelamat” (life boats) ataupun diperalatkan oleh mana-mana bahtera lain yang lebih besar.

Bahtera ISMA ini tidak akan tunduk kepada kepentingan mana-mana individu, organisasi mahupun kumpulan (termasuk parti-parti politik). Ketundukan atau “compliance” hanyalah kepada Allah, nilai-nilai Syara’ dan kedaulatan Islam. Sesiapa yang ingin menjadi sebahagian daripada anak kapal (ataupun penumpang sahaja) perlu menerima dan melalui sistem latihan dan pendidikan yang merangkumi semua asas di atas.

Penguasaan atau kefahaman yang cetek atau tidak menyeluruh terhadap SEMUA agenda ISMA tidak akan melahirkan pemimpin, ahli, penggerak, atau aktivis yang bernilai tinggi atau mampu mengesani orang lain atau membawa perubahan yang bermakna kepada masyarakat.

Posisi “berpolitik” melalui GPS akan menjadi satu kesinambungan kepada medan amal ahli-ahli ISMA secara praktikal dan penglibatan mereka dalam proses pilihanraya.

ISMA benar-benar membawa satu Arus baru dan naratif siasah tersendiri untuk maslahat umat Islam dan bangsa Melayu.

Mohd Luttfi Abdul Khalid

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *