Cina tidak bersih?

SAYA ingatkan isu dobi mesra Muslim dah selesai. Rupanya tidak selesai lagi. Saya kurang bersetuju dengan generalisasi atau persepsi Cina tidak bersih, hanya kerana kencing berak tidak basuh, menggunakan tisu.

Memang secara fizikal majoriti orang Cina kencing berak tidak menggunakan air. Mereka menggunakan tisu. Tetapi mengatakan secara umum, Cina tidak bersih, saya tidak setuju.

Secara umum, masyarakat Cina sudah terkenal sifat pembersih, walaupun mereka tidak berpegang kepada hadis, kebersihan itu sebahagian daripada iman.

Tetapi berbanding dengan mereka yang berpegang dengan hadis tersebut, cuba lihat bersih atau tidak rumah atau restoran atau tempat kerja mereka.

Saya berani mengatakan, dalam soal ini, dari segi fizikal, Cina lebih pembersih. Jarang sekali rumah Cina yang saya pergi, lantai mereka berlumut, kotor, bersawang dan sebagainya.

Berbanding dengan kita, usah pergi jauh. Lihat masjid surau kita. Pergi bahagian tempat wuduk, tandas dan sebagainya. Ini belum termasuk ruang solat berselerak dengan tahi cicak.

Kadang kala saya ketawa seorang diri, kita menjaga sangat soal bersih dan suci, tetapi anak-anak kita  inilah yang memenuhi pasaraya, melepak, merokok, hisap dadah, mencuri, termasuk mencuri kasut di masjid dan melakukan lain-lain perbuatan yang memalukan. Mereka inilah pemakan makanan halalan toyiban.

Sedangkan mereka yang tidak bersih, tidak suci, pemakan babi dan pemelihara anjing dan sebagainya, mereka yang bekerja siang malam untuk mencari wang dan menjadi kaya raya. Gejala sosial mereka tidaklah sehebat kita hari ini. Sebab itu, komen secara umum sebegini tidak berhikmah

Saya menghormati hak Zamihan untuk memberi pendapat sebagai seorang rakyat yang hidup dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi. Dia ada hak untuk memberi pandangan termasuk isu dobi yang telah saya ulas sebelum ini dalam portal Ismaweb (sila baca) http://www.ismaweb.net/2017/10/dobi-jahat-dan-busuknya-ultra-kiasu/

Tetapi membuat generalisasi Cina tidak bersih perlu dibuat secara berhati-hati, kerana merugikan dakwah.

Jika umat Islam begitu suci dan bersih, kenapa tidak ada sebuah negara Islam pun yang boleh dikategorikan bersih dalam kalangan 30 buah negara teratas di dunia meskipun negara Islam tidak kurang bilangannya. Mungkin dijika dibanci lagi, turut tidak tersenarai dalam 50 terbersih dunia.

Islam bukan hanya bercakap soal bersih suci sahaja. Malah, lebih besar daripada isu pendidikan anak-anak selepas itu. Tidak ada gunakan mendirikan rumah berdepan kaabah, dapat meminum air zam-zam dan mengerjakan umrah saban hari dan haji saban tahun, sekiranya kita hanya ekstrem dalam satu aspek sahaja, tetapi tidak ekstrem dalam perkara lain dalam melaksanakan Islam sebagai satu cara hidup.

Ya, nampak saya selalu saya tidak bersefahaman dengan Cina ultra kiasu yang menentang Islam.  Tetapi dalam isu generalisasi sebegini saya tidak dapat menerimanya kerana ia bercanggah dengan realiti hidup bermasyarakat majmuk apatah lagi mahu berdakwah kepada mereka.

Jika nak suci sangat, jangan kunjungi pasaraya atau kedai-kedai Cina. Boleh dikatakan semua produk makanan dan pasaraya adalah keluaran mereka. Begitu juga, jangan pegang wang siling atau kertas kerana semua itu sudah berlegar di kedai babi dan kedai judi. Kenapa kita simpan duit ini dalam wallet dan membawanya bersolat. Bukankah ia tidak suci? 

Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan
Universiti Sultan Zainal Abidin

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana mahupun pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).

3 thoughts on “Cina tidak bersih?

  1. Yang ni saya bersetuju sebab mengambil kira masyarakat kita yang majmuk. Kena ada sikap toleransi dan bukan membuat generalisation yang mcm tak berfikir panjang. Bukan saja merugikan dakwah, tapi macam cuba meniup api perkauman.

  2. Rujukan: Gejala sosial mereka tidaklah sehebat kita hari ini

    Saya tiada statistik atau fakta kukuh. Cuma melalui pemerhatian saya. Semua kaum ada masalah sosial tersendiri. Contohnya, Melayu dengan dadah, rempit dan anak luar nikah. Cina dengan judi, hutang along dan arak. India dengan gangster dan arak. Tentu sekali semua kaum adalah masalah kemiskinan.

    Saya berani katakan jika kita lihat secara peratusan, lebih tinggi peratusan Melayu terlibat dengan masalah sosial berbanding Cina. Sama juga dengan isu kemiskinan. Melayu lebih banyak yang miskin (dalam peratusan) berbanding Cina.

    Daripada membazir masa berdebat sama ada sebiji dobi mesra Muslim ada atau tiada merit, lebih baik fokus tenaga dan masa untuk kurangkan gejala sosial dan tingkatkan pendapatan Melayu.

  3. qiyaskan wang ringgit dgn masalah kesucian pakaian adalah qiyas yg bathil…. meleret pulak pergi kepada gejala sosial, kekayaan etc etc…. jauh ke laut dari halnyg dibincangkan.

    bersih dan suci dua perkara berbeda.. sememangnya pakaian cina kafir tidak suci walau mungkin ianya bersih….

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *