71 terbunuh dalam serangan Taliban di dua wilayah Afghanistan

KABUL, 28 Muharram 1439H, Rabu – Sekurang-kurangnya 71 terbunuh dalam serangan dan pengeboman dilakukan puak Taliban di dua wilayah, Paktia dan Ghazni, semalam, kata pegawai Afghanistan.

Daripada jumlah itu, 41 orang terbunuh dalam pengeboman bunuh diri dan pertempuran bersenjata di pusat latihan polis di Gardez, ibu wilayah Paktia. Kira-kira 150 orang lagi cedera dalam kejadian itu.

Tiga puluh lagi, maut apabila sebuah kenderaan yang dipasang bom meletup di wilayah Ghazni.

Serangan berganda di Paktia berlaku apabila kumpulan militan bersenjata menyasarkan ibu pejabat polis wilayah itu, kira-kira jam 9 pagi waktu tempatan di Gardez, 161 kilometer dari Kabul, semalam.

Penyerang menggunakan trak dan kenderaan berperisai yang dicuri daripada pasukan keselamatan untuk melakukan pengeboman, yang menyebabkan 41 orang terbunuh, termasuk Ketua Polis, Brigadier Jeneral Toryali Abdiani. Lebih 100 lagi cedera, kata Timbalan Gabenor Paktia, Hidayatullah Hamidi.

Sekumpulan besar pelajar Universiti Paktia dan orang awam yang berada berhampiran ibu pejabat polis itu bagi mengambil kad pengenalan dan pasport masing-masing, adalah antara yang terbunuh.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Afghanistan, Jeneral Murad Ali Murad pula berkata, 21 orang awam antara yang terbunuh dalam serangan di Paktia.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, tujuh anggota militan mengambil bahagian dalam serangan itu – dua melakukan serangan bom bunuh diri dan lima lagi bertempur menggunakan senjata api. Lima militan itu kemudian ditumpaskan.

Jurucakap Taliban, Zabiullah Mujahid dalam Twitternya mendakwa serangan di Paktia dan Ghazni dilakukan pihaknya.

Bersempadan dengan Waziristan di utara Pakistan, kawasan di mana salah satu daripada tujuh puak mendapat separuh autonomi dari Pakistan, Paktia di Afghanistan adalah tempat lahir bagi rangkaian Taliban Haqqani.

Sementara itu, pentadbiran wilayah Ghazni pula dalam satu kenyataan yang dikeluarkan berkata, militan meletupkan sebuah kenderaan berperisai di pintu masuk pejabat daerah Andar, sebelum terbabit dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan.

Kira-kira 30 orang, kebanyakannya anggota polis terbunuh dalam pertempuran itu.

Bagaimanapun, Zabiullah Mujahid mendakwa 44 anggota polis terbunuh dalam serangan di Ghazni, selain berjaya merampas senjata api dan peluru. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *