30 polis Mesir terbunuh pertempuran dengan militan

KAHERAH, 1 Safar 1439H, Sabtu – Dianggarkan 30 anggota polis rejim Mesir maut dalam satu serbuan ke atas tempat persembunyian kumpulan bersenjata di barat negara itu, semalam, kata sumber keselamatan.

Agensi berita Reuters memetik sumber mengatakan anggota dan pegawai polis terbabit pergi ke sebuah apartment yang dikatakan tempat persembunyian lapan anggota Hasm.

Hasm adalah kumpulan bersenjata yang mendakwa melakukan beberapa serangan di sekitar Kaherah menyasarkan hakim dan anggota polis sejak tahun lalu.

Sumber itu berkata, kumpulan terbabit cuba melarikan diri selepas berbalas tembakan dengan sekumpulan anggota polis, sebelum bertembung dengan sepasukan lagi anggota pasukan keselamatan di bangunan bersebelahan, yang dipanggil untuk membantu.

Kumpulan bersenjata itu turut menggunakan bahan letupan dalam serangan itu, kata sumber berkenaan sambil menambah 16 pegawai polis terbunuh dan jumlah itu dijangka meningkat.

Dua pegawai keselamatan mendakwa lapan anggota mereka cedera, manakala sumber lain pula berkata, empat yang cedera adalah pegawai polis, dan empat lagi adalah anggota Hasm.

Kenyataan Kementerian Dalam Negeri Mesir berkata, jumlah kematian di kedua-dua belah belum diketahui.

Agensi berita Associated Press memetik kenyataan pegawai Mesir berkata, kejadian itu berlaku di al-Wahat al-Bahriya, sebuah daerah di Giza, kira-kira 135 kilometer dari Kaherah.

Rejim Abdel Fatah el-Sisi mendakwa Hasm adalah sayap bersenjata Ikhwanul Muslimin, tetapi pergerakan itu menafikannya.

Mesir diletakkan di bawah perintah darurat sejak pengeboman dan serangan bunuh diri menyasarkan penganut minoriti Kristian Kopitik.

Keganasan antikerajaan tercetus di Semenanjung Sinai sejak tentera dipimpin el-Sisi mengguling Presiden Mesir yang dilantik secara demokrasi, Mohamed Morsi dan mengisytiharkan Ikhwanul Muslimin sebagai kumpulan pengganas. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *