a
Terkini
21/01/2018, 6:56 am

Kerajaan gagal jelaskan fungsi sistem IMAMS: PAS

 

BANGI, 1 Safar 1439H, Sabtu – Cadangan mewujudkan Sistem Pemantauan Pengendalian Pakej Umrah Malaysia atau Integrated Manasik Monitoring System (IMAMS) terus dikritik kerana ia tidak membawa penyelesaian bahkan merumitkan lagi keadaan.

Hal ini kerana pengenalan Lesen Khas Umrah (LKU) yang membabitkan Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) sudah mencukupi dalam usaha membendung penipuan pakej umrah.

Ketua Penerangan PAS, Ustaz Nasruddin Hassan berkata, dalam isu ini, kerajaan gagal menjelaskan di mana kedudukan IMAMS dalam struktur melibatkan isu pemberian lesen khas umrah (LKU) mahupun melibatkan Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU).

“Bagi saya, penubuhan MKSU pada Ogos 2014 itu sudah tepat dan komprehensif merangkumi 13 agensi utama termasuklah TH, KPDNKK, PDRM, Syarikat Penerbangan Malaysia, MATTA, JAWHAR dan sebagainya.

“Manakala pengenalan LKU pada Oktober lalu adalah langkah yang baik bagi mengelakkan peningkatan kes-kes penipuan umrah ini. Itu sudah memadai sesuai dengan Akta Industri Pelancongan 1992 juga Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan 1992 (PPIP 1992),” katanya ketika dihubungi Ismaweb hari ini.

Katanya, jawapan Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin pada 14 Ogos yang lalu ketika persidangan Dewan Negara juga menyentuh tentang MKSU dan LKU sahaja tanpa menyebut peranan IMAMS dalam menangani kes-kes penipuan pakej umrah.

“Jadi, di mana sebenarnya kedudukan IMAMS? Itu jadi persoalan asas di sini,” katanya lagi.

Khamis lepas, Ismaweb mendedahkan dalam satu sesi taklimat khas untuk agensi pengendali umrah, sistem IMAMS diperkenalkan di mana setiap jemaah perlu membayar RM90.10 setahun dalam bentuk prabayar.

RM5.10 daripada jumlah itu dikenakan sebagai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Nasruddin turut mengulas mengenai caj insuran dan GST yang dikenakan tidak seharusnya berlaku.

“Peraturan 6(1A) PPIP 1992 antara lain menyebut tentang Skim Takaful Umrah bagi jemaah ketika berhadapan dengan kes-kes kecemasan, penyakit mahupun kematian. Malah, peraturan tersebut menyebut tentang tidak boleh menjual pakej tersebut kepada pengendali pelancongan lain. Adakah IMAMS termasuk dalam “pengendali pelancongan” yang lain? Maka, ia bertentangan dengan peraturan tadi. Tambahan lagi, apakah tujuan caj tambahan RM90.10 itu dibayar sedangkan takaful para jemaah sudah dijamin?

“Ini merumitkan lagi kemelut yang melanda. Menyelesaikan suatu perkara dengan cara mengetatkan undang-undang atau peraturan seperti pemberian lesen yang lebih ketat dan sebagainya adalah satu tindakan yang sepatutnya, tetapi bukan sampai peraturan yang dicipta itu menyusahkan dan membebankan pihak lain,” katanya.

http://www.ismaweb.net/2017/10/eksklusif-sistem-imams-gst-untuk-tunai-perintah-allah/

(EKSKLUSIF) Sistem IMAMS: RM90.10 mesti dibayar secara prepaid, membebankan jemaah

https://www.ismaweb.net/2017/10/netizen-kecam-sistem-imams-anggap-lintah-darat/

https://www.ismaweb.net/2017/10/video-taklimat-imams-dan-pengendali-umrah/

Share With:
Rate This Article
Author

admin@ismaweb.net

No Comments

Leave A Comment