a
Terkini
14/12/2017, 9:13 pm

Sokong Daesh: Juruteknik menangis minta hukuman diringan

KUALA LUMPUR, 22 Muharram 1439H, Khamis – Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun terhadap juruteknik kilang kerana memberi sokongan dan memiliki pelbagai bahan berkaitan kumpulan pengganas Daesh.

Tertuduh Muhammad Safuan Mohd, 29, mengaku bersalah terhadap pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan Daesh dengan melafazkan sumpah taat setia melalui aplikasi Telegram ‘Gagak Hitam’ atas nama Abu Marwan Salaki di rumahnya di Seksyen U5 (Panasuria) Petaling, Selangor, pada 3.29 pagi, 30 Mac 2016.

Bapa kepada dua anak itu juga dijatuhi hukuman penjara tiga tahun selepas turut mengaku bersalah terhadap pertuduhan memiliki 72 video, 19 keping gambar dan 419 naskhah dokumen berkaitan Daesh di dalam telefon bimbitnya, di tempat letak kereta blok kediamannya, pada kira-kira 7 malam, 6 Okt 2016.

Tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara lapan tahun selepas hakim memerintahkan hukuman itu berjalan serentak dari tarikh dia ditangkap 6 Oktober tahun lepas.

Hakim Azman ketika membacakan keputusannya berkata perbuatan tertuduh yang menyokong dan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas, jika tidak dibendung, boleh memudaratkan negara.

“Tertuduh sememangnya mempunyai niat untuk pergi ke Syria dan jika dibiarkan dia akan meneruskan perjuangannya yang akan memudaratkan negara. Saya harap kamu insaf dan jangan berdendam dengan sesiapa kerana itu adalah kesalahan kamu sendiri,” kata hakim.

Terdahulu, Muhammad Safuan yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan dia telah insaf dan sedar kesilapan yang dilakukannya.

“Saya datang daripada keluarga yang susah dan ibu saya terpaksa bekerja untuk mencari pendapatan keluarga kerana sebelum ini saya penanggung tunggal keluarga,” katanya sambil menangis teresak-esak.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izhanudin Alias memohon agar dijatuhkan hukuman berat kerana kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius yang boleh mengganggu ketenteraman negara serta bersifat global. – Bernama

Share With:
Rate This Article
Author

admin@ismaweb.net

No Comments

Leave A Comment