“Wartawan -sasterawan” dalam perjuangan kemerdekaan

Rahim Kajai (kiri) dan Pak Sako

Sejarah telah membuktikan bahawa wartawan Melayu tidak sekadar menulis angka dan fakta. Mereka tidak sekadar makan gaji dan merakamkan peristiwa suka ataupun duka manusia. Kewartawanan yang diasuh oleh Bapa Wartawan Melayu, Rahim Kajai menggerakkan wartawan ikut terlibat dan menjadi sebahagian daripada peristiwa bersejarah tanah air.

Wartawan telah membuktikan kejayaan daripada terlibat sebagai perancang gerakan kebangsaan hingga mengepalai penubuhan parti politik yang kekal hingga kini. Demikianlah asuhan dan tunjuk ajar Rahim Kajai pada dekad 1940-an, wartawan bukan pemerhati dan pelapor yang pasif.

Tentulah ciri-ciri utamanya memiliki pemikiran dan berjiwa pejuang. Jika sekadar menulis banyak yang boleh menulis, atau jika sekadar melapor banyak juga yang mampu berbuat demikian. Oleh sebab itu, selain menulis dan melapor, wartawan diasuh menjadi pemimpin dalam gerakan massa serta memiliki pemikiran yang jauh ke depan.

Wartawan turut berganding bahu bersama-sama sasterawan dan budayawan memperjuangkan kemerdekaan selain hal ehwal kesusasteraan dan bahasa. Selain kekuatan kewartawanan, pengaruh kesusasteraan Melayu yang luar biasa itu dimanfaatkan untuk memerdekakan pemikiran massa.

Usman Awang (kiri) dan A. Samad Ismail

Rahim Kajailah yang memulakan kecenderungan wartawan menulis karya-karya kreatif berlatarkan sosial politik dan budaya era Perang Dunia Kedua. Selain mempunyai minat dalam kesusasteraan tetapi yang menjadi pendorong utama beliau mengembangkan penulisannya dalam bentuk kreatif kerana kekangan penjajah Inggeris mengawal akhbar dan majalah.

Demikianlah besarnya pengaruh kesusasteraan yang dimanfaatkan pada era yang genting dalam cengkaman penjajah. Iltizam wartawan sasterawan untuk keluar daripada kongkongan penjajah melalui kesusasteraan amat berjaya. Karya-karya sastera yang berlatarkan era penjajahan dengan penerapan semangat kebangsaan menyumbang kepada pemikiran yang merdeka dalam kalangan massa.

Kelahiran wartawan-wartawan Melayu berjiwa kebangsaan seawal dekad 1930-an menambahkan lagi anak watan yang melibatkan diri dalam penentangan terhadap penjajah. Perang propaganda penjajah yang sengaja menonjolkan ketidakmampuan orang Melayu dalam pelbagai bidang terhalang dengan kemunculan pejuang yang “menggalas pena” seiring dengan pejuang yang memikul senjata di hutan belantara.

Benarlah kata-kata pujangga, mata pena lebih tajam daripada mata pedang. Pena yang jatuh ke tangan pejuang menjadi sangat berbeza dengan pena yang jatuh ke tangan pengecut yang oportunis. Ketajamannya disalahguna, kuasa magis diseleweng untuk tujuan lain.

Hasil yang ditunjukkan oleh perjuangan persuratan atau kesusasteraan sangat ketara pada era penjajah berbanding beberapa dekad terakhir ini. Keterlibatan wartawan dalam kesusasteraan yang bermatlamat perjuangan juga tidak termampu ditandingi oleh generasi hari ini. Kewartawanan tidak sekadar profesion yang bergaya tetapi lapangan yang disertai oleh manusia pemberani yang strategik.

Ketika gerakan kesusasteraan seiring dengan politik untuk menghapuskan jiwa hamba dalam kalangan orang Melayu, wartawan turun ke lapangan dan antara bukti paling hebat termasuklah lahirnya Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50).

Sebahagian besar daripada pencetus, penggerak dan propagandisnya anak didik Rahim Kajai yang berpayung di bawah bumbung Utusan Melayu di Singapura. Dalam isu bahasa dan kesusasteraan, wartawan ini akan berada di barisan hadapan, bersuara lantang sebagai pendesak bukannya berdiri di pinggir sebagai pelapor yang hanya menulis berita pendek lima perenggan.

Kesusasteraan merangkumi keberadaan kita sebagai manusia dalam kelompok manusianya. Berada dengan wajah dan pemikiran yang saling mengambil tahu dan bantu membantu antara satu dengan lain. Sastera itu satu bidang yang menuntut keterlibatan yang tinggi dari aspek psikologikal kerana memperihalkan tentang manusia mesti selari ciri-ciri kemanusiaannya.

Perjuangan menuntut kemerdekaan menerusi kewartawanan dan kesusasteraan jauh lebih awal daripada lahirnya pergerakan politik oleh UMNO. Utusan Melayu diperbadankan di Singapura pada tahun 1938 dan menerbitkan akhbar pertama pada 29 Mei 1939. UMNO ditubuhkan pada 1946, iaitu hasil perjuangan wartawan Utusan Melayu yang menggerakkan Kongres Melayu.

Maka tidak hairanlah semasa akhbar Utusan Melayu diterbitkan pada 29 Mei 1939, pengarang pertamanya Rahim Kajai yang bukan sahaja seorang wartawan malah sasterawan. Beliau mendapat jolokan Bapa Cerpen Melayu. Ketajaman tulisannya sebagai wartawan sama hebatnya dengan ketajaman menulis cerpen.

Kajai telah menyediakan landasan yang diikuti oleh wartawan lainnya. Kemunculan Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako yang menjadi salah seorang pengasas Utusan Melayu itu, juga menjadi sasterawan terbilang walaupun dilabelkan sebagai berhaluan kiri.  

Berdasarkan buku Wajah; Biografi Penulis Melayu, daripada 100 orang penulis dalam senarai awal penulis Malaysia, 33 orang datangnya dari Utusan. Kesemua mereka adalah wartawan yang mengembangkan jalur penulisan dalam kesusasteraan untuk meniupkan kesedaran kebangsaan.

Nama-nama seperti Keris Mas, Usman Awang , A. Samad Said, A Samad Ismail, Jymy Asmara, Ahmad Boestamam, Salmah Mohsin, Zaharah Nawawi, AS Amin, Abu Zaki Fadhil, Adi Mas, Alias Ali, Mohamad Dahlan Hj Masud (Hamdam), Harun Hassan, Ilias Zaidi, Ahmad Lufti, Khatijah Hashim, A. Shukor Harun, A.R. Kamaluddin, Atondra, Awam Il Sarkam, Hamzah Hussein, Ibrahim Omar, Baharuddin CD, Ali Hj Ahmad (Nora) dan Zahari Affandi, Johan Jaaffar adalah antara wartawan-sasterawan yang dimiliki oleh Utusan Melayu.

Ternyata dunia sastera memerlukan pelibatan dalam kalangan wartawan sebagai penggerak dan pejuang dalam isu yang melibatkan kesusasteraan dan bahasa selain sasterawan dan pejuang bahasa. Wartawan mempunyai akses yang lebih luas khususnya untuk mencetuskan gelombang dalam kalangan rakyat. Perjuangan memartabatkan bahasa Melayu misalnya memerlukan wartawan yang benar-benar faham peri pentingnya bahasa Melayu diletakkan pada kedudukan paling tinggi.

Ku Seman Ku Hussain
Bekas Pengarang Mingguan Utusan

Artikel ini telah disiar lebih awal di blog Kuseman.com dan diulang siar di Ismaweb dengan izin penulis.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *