Tutup aurat ditentang tapi tidak mengapa hias diri seperti monyet

BANGI, 22 Zulhijjah 1438H, Rabu – Iblis dibiarkan mencari pengikutnya, terutama mereka yang sombong yang tidak menerima apa yang diceritakan dalam al-Quran dan sesuatu yang tidak dapat dilihat dengan pancaindera, akal, mata dan telinga, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, Allah Maha Mengetahui bahawa di dalam dunia ini tetap ada orang yang sombong seperti Iblis, berasa syok sendiri, berasa dia bijak dan akhirnya mati dalam kesombongannya.

Beliau memetik ayat 179 surah Al-A’araf yang bermaksud:

Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk Neraka Jahannam banyak dari kalangan jin dan manusia yang mempunyai hati (akal) tetapi tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata tetapi tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga tetapi tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat). Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.

Dalam kenyataannya hari ini, Abdul Hadi berkata, kalangan manusia yang dimaksudkan itu juga adalah mereka yang menolak hukum menutup aurat yang diwajibkan oleh Islam, namun mereka sendiri bersolek dan menghiasi wajah mereka dengan warna seperti monyet dan burung tidak berakal.

“Selain itu, kalangan ini menolak hukum jenayah Islam (Qisas, Hudud dan Takzir) yang syarat-syaratnya sangat ketat tetapi menakutkan bagi tujuan menentang keganasan secara mendidik dengan ilmu Allah. Mereka tidak sedar bahawa tindakan mereka menentang hukum Allah itu membela pengganas.

“Padahal mereka boleh menerima segala jenis pembedahan anggota jasad bagi menyelamatkan jasad seorang manusia yang sakit. Sedangkan hukuman jenayah Islam adalah pembedahan bagi menyelamatkan masyarakat yang ramai jumlahnya,” katanya.

Katanya, ada juga kalangan yang menolak ayat-ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW, khususnya perkara yang hikmahnya tidak mampu dicapai oleh akal mereka yang tetap mempunyai kelemahan.

“Mereka menolak Isra’ Mikraj dan menolak cerita Nabi Ibrahim sedia mengorbankan putera kesayangannya, Nabi Ismail kerana mentaati perintah Allah sebagai satu ujian yang kemudian dibatalkan,” katanya.

“Ada pun kalangan yang bercakap besar menghina Islam itu loyar buruk sahaja atau ilmuan syok sendiri. Sila siasat latar belakang pengajian dan akhlaknya walaupun berjela ijazahnya?,” katanya.

Beliau berkata, kalangan seperti ini pada zaman dahulu ada yang bergelar ahli falsafah yang menolak adanya Tuhan, tetapi dalam keadaan terdesak, fitrahnya percaya adanya Tuhan dan berdoa.

“Kalangan mereka menolak para Rasul a.s. pilihan Allah yang bijak dan mulia akhlaknya. Kalangan ini juga menolak Kaabah sebagai tanda kiblat yang dibina oleh Nabi Ibrahim a.s. yang disanjung oleh penganut semua agama dengan kepercayaan dan sebutan masing-masing.

“Namun mereka bersedia menyembah binatang yang bodoh dan menyembah patung batu yang dipahat wajahnya sangat buruk, bahkan wajah dirinya sendiri lebih cantik daripada patung yang dipahat dan diukirnya. Patung itu tidak boleh bergerak sehingga diusung ke sana dan ke mari, jauh sama sekali memberi manfaat dan mudarat,” katanya.

 

PAS lapor polis kenyataan Siti Kassim, David Orok hina Nabi

‘Siti Kassim sudah melampau tapi pihak berkuasa tengok saja’

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *