Tragedi maahad tahfiz di Keramat imbau syuhada Pondok Pak Ya

PEDANG terkejut, sedih lalu pada kesempatan ini turut sama merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa kebakaran Maahad Tahfiz Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, yang mengorbankan 25 pelajar dan guru awal pagi tadi.

Semoga pihak pentadbiran maahad dan ahli keluarga pelajar diberi kekuatan dan kesabaran terhadap musibah yang menimpa mereka.

Pedang sendiri sebak, menitis air mata tatkala melihat video yang dirakam saksi insiden pagi tadi. Terngiang-ngiang jeritan mereka meminta tolong, panas.. panas…panas, Allahuakbar.. bergetar jiwa.

Tak dapat Pedang bayangkan keadaan mereka ketika itu, dimamah api. Selebihnya hanya Allah sahaja yang mengetahui keadaan dan kepedihan yang mereka alami.

“Ada yang cuba memecahkan pintu, tingkap, jeriji besi. Ada yang keluar mengikut saluran air, ada yang terjun, macam-macam cara untuk selamatkan diri. Namun, ada yang tidak sempat berbuat apa-apa, akhirnya menghadap Allah Yang Esa.

Kata saksi kejadian, kesemua mangsa yang terkorban ditemui dalam dalam keadaan saling bertindih berhampiran pintu di tingkat tiga. Innalillah hiwainna ilaihirajiun.

Kerana maahad berkenaan hanya mempunyai satu pintu, mungkin masing-masing berebut-rebut untuk keluar.

Ya Allah! Janji Mu adalah benar, perjumpaan dengan Mu adalah benar, firman Mu adalah benar. Syurga itu benar, neraka itu benar, Nabi dan Rasul Mu adalah benar. Kepada Engkau jualah kami kembali. Engkaulah Yang Maha Kuasa atas segala sesuatu di alam semesta ini.

Tragedi berulang…

Insiden ini mengingatkan Pedang tragedi pada tahun 1989 kebakaran Pondok Pak Ya. Kisah sama cuma jalan cerita berbeza. Jika hari ini mengorbankan 25 pelajar lelaki, 28 tahun dahulu 27 pelajar perempuan rentung.

Sekolah Menengah Agama (SMA) Taufikiah Khairiah Al-Halimiah mencatatkan sejarah hitam apabila 27 pelajar terkorban dalam keadaan yang sungguh tragis.

Kebakaran di Pondok Pak Ya yang juga berlaku pada awal pagi 22 September 1989, mengejutkan Pedang daripada tidur. Rumah bapa mentua Pedang hanya kira-kira 100 meter sahaja daripada Pondok Pak Ya.

Mungkin ramai yang tidak pernah mendengar mengenai kisah duka ini tetapi yang pastinya, ia tidak mungkin dapat dilupakan kalangan ahli keluarga mangsa. Mereka kini disemadikan di tanah perkuburan khas tidak jauh dari lokasi kejadian dekat Padang Lumat, Yan, Kedah – di Makam Syuhada.

Sudah pasti insiden maahad tahfiz hari ini mengingatkan hati ibu bapa yang kehilangan puteri mereka suatu ketika dahulu.

Syahidlah wahai putera-puteri….

Rasulullah SAW pernah bersabda: “Orang yang syahid mendapatkan enam perkara: Diampuni dosanya sejak titisan darahnya yang pertama; diperlihatkan tempatnya dalam syurga; dijauhkan dari seksa kubur; diberi keamanan dari goncangan yang dahsyat di hari kiamat; dipakaikan mahkota keimanan; dinikahkan dengan bidadari syurga; diizinkan memberi syafaat bagi tujuh puluh anggota keluarganya.

Kata Pedang: Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka. Mereka sedang menikmati istirehat yang aman dan damai di perhentian barzakh di alam sana.

Kata Pedang: Penafian: Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net. Pandangan yang diberikan dalam ruang Kata Pedang tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *